Pada 10 Januari 2022, BPPA telah mengadakan Sesi ‘Sembang Ofis Kita’ Siri 20 yang disampaikan oleh Encik Mohd Faiz Mahdzir, Pembantu Penerbitan Kanan melalui platform Google Meet. Sesi ini dimulakan pada jam 10.00 pagi.
Tajuk yang disampaikan oleh Encik Mohd Faiz adalah Sewaan Meja Peperiksaan di Bahagian Penilaian dan Pentaksiran Akademik (BPPA). Meja peperiksaan merupakan aset kepada BPPA. Apabila meja peperiksaan tidak digunakan semasa peperiksaan, peminjaman atau sewaan meja boleh diberikan kepada pihak dalaman UiTM ataupun kepada pihak luar UiTM. Caj peminjaman yang dikenakan adalah RM5.00 sehari tidak termasuk semasa hari peminjaman dan pemulangan meja. Namun, jika peminjaman dari jabatan dalaman UiTM, tidak akan dikenakan caj.
Proses pertama peminjaman atau penyewaan meja peperiksaan adalah peminjam akan menghantar surat permohonan kepada Pengarah BPPA. Kemudian apabila permohonan diluluskan, surat kelulusan akan dikeluarkan. Surat kelulusan juga perlu diberikan salinan kepada Unit Majlis UiTM, Pejabat Pengurusan Fasiliti, UiTM & Pembantu Penerbitan Kanan (PPT) yang ditugaskan.
Seterusnya PPT akan berurusan dengan peminjam dan Unit Majlis UiTM untuk menentukan tarikh dan masa pengambilan dan pemulangan meja. PPT perlu berada di stor Unit Majlis UiTM ketika proses peminjaman dan pemulangan bagi memastikan meja dalam keadaan baik, tiada kerosakan dan mencukupi seperti dalam surat permohonan.
PPT dan peminjam perlu mengisi borang rekod peminjaman dan pemulangan, meja peperiksaan. Setelah selesai semua proses, borang rekod peminjaman dan pemulangan akan disemak oleh PPT dan disahkan oleh Pegawai Eksekutif BPPA.
Berikutan pandemik COVID-19, sebelum meja dipulangkan, meja-meja tersebut akan disanitasi terlebih dahulu dengan bukti bergambar. Jika terdapat kelewatan, peminjam perlu berurusan dengan Pengarah BPPA untuk kelulusan kelewatan penghantaran. Selain itu, jika terdapat kerosakan pada meja yang dipinjamkan pihak peminjam perlu membayar ganti rugi
Program Sembang Ofis Kita Siri 20 ini diselangselikan dengan sesi soal jawab dan berakhir pada jam 10.30 pagi. Semoga sesi perkongsian kali ini dapat memberi ilmu dan manfaat, juga pendedahan dan kefahaman kepada semua warga BPPA tentang proses sebenar peminjaman dan penyewaaan meja peperiksaan.