Sesi Perkongsian Pemantapan Kecemerlangan Operasi UiTM 2022

Pada 22 Mac 2022 yang lalu, telah berlangsung Sesi Perkongsian Pemantapan Kecemerlangan Operasi UiTM 2022 anjuran Unit Sistem Kualiti dan Kecemerlangan Operasi (SKKO), InQKA. Bertemakan Menerajui Kecekapan Melalui Penambahbaikan Proses Kerja, sesi ini diadakan bertujuan untuk memberikan perkongsian mengenai pelaksanaan penambahbaikan proses kerja di PTJ selain mendapatkan input daripada pembentang yang berpengalaman dalam teknik mengenalpasti dan menambahbaik proses kerja. Melalui sesi ini juga para peserta telah didedahkan dengan maklum balas dan kehendak panel penilai OE terhadap hasil penambahbaikan proses kerja.

Sesi perkongsian telah disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube InQKA dan FB Live Institute of Quality and Knowledge Advancement – InQKA. Seramai 391 orang peserta telah mengikuti program ini yang mengetengahkan dua orang wakil finalis OE 2020 iaitu Encik Al-Bakri Mohammad @ Ahmad dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan dan Ts. Hj. Azizi Jantan dari Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR). Di samping itu, penampilan salah seorang panel penilai OE 2020 iaitu Dr. Wan Ismahanini Ismail dari Pejabat Naib Canselor telah membuka minda para peserta untuk melaksanakan penambahbaikan proses kerja berdasarkan rubrik penilaian dan pemarkahan. Melalui penilaian yang dilaksanakan, beliau percaya bahawa penambahbaikan proses kerja mampu menjadikan staf bekerja dengan lebih tangkas, baik dan cemerlang.

Melalui sesi perkongsian ini juga, Encik Al-Bakri Mohammad @ Ahmad telah berkongsi kaedah Design Thinking yang digunakan dalam melaksanakan penambahbaikan proses kerja. Bagi meningkatkan sokongan dan komitmen warga UiTM, beliau telah menyuntik semangat semua peserta untuk menggunakan formula kejayaan OE iaitu knowledge, hard work, experience dan attitude.

Penambahbaikan berterusan merupakan aspek penting dalam memastikan tugas dan aktiviti yang dijalankan efisien dan efektif. Menurut Ts. Hj. Azizi Jantan, transformasi proses kerja daripada manual kepada automatik juga merupakan salah satu aspek penambahbaikan dan kewujudan teknologi baharu merupakan penyelesaian terhadap masalah dalam melaksanakan proses kerja.

Secara keseluruhannya, objektif sesi perkongsian ini telah tercapai melalui pembentangan daripada finalis dan panel penilai OE 2020. Melalui penambahbaikan proses kerja, semua warga UiTM mampu melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan berkesan.