Program sesi perkongsian pasukan misi akademik UiTM Cawangan Negeri Sembilan anjuran Jawatankuasa Misi Akademik telah diadakan secara dalam talian pada 18 April 2024. Program ini merupakan sesi perkongsian mengenai program-program akademik yang ditawarkan oleh UiTM merangkumi peringkat Pra-Diploma, Asasi, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah. Tiga orang panel jemputan telah dijemput untuk berkongsi maklumat berkenaan dengan program yang ditawarkan di UiTM. Panel jemputan terdiri daripada Ts. Siti Nafisah Md Rashid yang merupakan Pengerusi Misi Akademik UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Puan Siti Noriah Mohd Shotor merupakan Koordinator Pra Siswazah dan Dr Nur Rahimah Said merupakan Ketua Pusat Pengajian Siswazah. Ketiga-tiga panel yang dijemput merupakan pakar rujuk bagi setiap program pengajian di UiTMCNS.
Program ini telah dihadiri oleh wakil-wakil petugas misi akademik yang telah dilantik di kalangan pensyarah dari Kampus Kuala Pilah, Kampus Seremban dan juga Kampus Rembau. Program ini turut dihadiri oleh para sekretariat yang merupakan wakil-wakil dari Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Negeri Sembilan. Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memperkenalkan barisan jawatankuasa pasukan misi akademik UiTMCNS serta skop tugas petugas misi akademik, selain menyampaikan maklumat berkaitan program-program akademik yang ditawarkan oleh UiTM kepada semua wakil petugas dan sekretariat yang telah dilantik.
Untuk slot yang pertama, para peserta telah diberikan penerangan secara umum oleh Ts. Siti Nafisah berkenaan dengan halatuju para pelajar lepasan SPM, di mana mereka berpeluang untuk memohon ke program Asasi UiTM dan Diploma UiTM menerusi sistem UPU. Melalui sistem ini, para pemohon perlu membeli nombor pin di BSN terlebih dahulu sebelum mengisi borang permohonan secara dalam talian. Di samping itu, pengambilan pelajar melalui sistem UPU ini juga dipilih berdasarkan pengiraan merit yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pengajian Tinggi.
Sementara itu, bagi slot yang kedua, Pn. Siti Noriah telah menerangkan tentang laluan alternatif yang boleh dimohon oleh calon-calon lepasan SPM, iaitu program Pra Diploma UiTM. Calon-calon yang berminat boleh memohon nombor pin secara percuma menerusi portal UiTM, dan mengisi borang secara dalam talian. Pemohon juga perlu menghantar dokumen-dokumen sokongan yang telah disahkan kepada Unit Pra Pendidikan Tinggi di kampus-kampus cawangan yang terlibat, bagi melengkapkan permohonan tersebut. Terdapat lima (5) buah program pra diploma yang ditawarkan iaitu Pra Diploma Perdagangan, Pra Diploma Sains, Pra Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera), Pra Diploma Agroteknologi dan Pra Diploma Pengajian Islam.
Bagi slot terakhir, para peserta telah diberikan penerangan berkaitan dengan program-program pascasiswazah yang ada ditawarkan di UiTM oleh Dr. Nur Rahimah Said, merangkumi program di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah. Bagi kedua-dua program ini, hanya mod penyelidikan sahaja ditawarkan di peringkat UiTM Cawangan Negeri Sembilan. Permohonan bagi pascasiswazah boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal Institut Pengajian Siswazah (IPSis) UiTM.
Secara keseluruhannya, pembentukan jawatankuasa pasukan misi akademik UiTM Cawangan Negeri Sembilan ini merupakan satu inisiatif kampus bagi memperkemaskan sistem tadbir urus dan organisasi yang efektif dan efisien dalam mempromosikan program-program akademik yang ditawarkan oleh UiTM kepada pihak luar. Penganjuran program seumpama ini sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan awal mengenai maklumat berkaitan dengan program-program akademik yang ditawarkan oleh UiTM selain memperkasakan kefahaman kesemua wakil petugas dan sekretariat yang dilantik demi melancarkan misi akademik yang bakal dijalankan sepanjang tahun 2024. Ini bertepatan dan seiring dengan objektif UiTM iaitu memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada masyarakat dan negara.