SESI PERKONGSIAN & BICARA SANTAI BERSAMA MERCY MALAYSIA PERAK CHAPTER

17 Mei 2024 – Bagi membuka ruang dan peluang penglibatan pelajar Diploma Sains terutamanya dalam program bantuan dan kesukarelawan, Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah telah menganjurkan program Sesi Perkongsian dan Bicara Santai bersama MERCY Malaysia Perak Chapter. Program ini adalah satu inisiatif Fakulti Sains Gunaan UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah untuk melibatkan pelajar khususnya dan pensyarah dalam perbincangan terbuka melalui sesi perkongsian ilmu diantara pihak MERCY dan fakulti.

MERCY adalah satu pertubuhan bantuan perubatan sukarela yang telah ditubuhkan pada Jun 1999 dengan misi pertama pertubuhan ini adalah ke Kosova. Dalam tempoh dua dekad, organisasi ini telah menyediakan bantuan kemanusiaan dan program di 32 negara, dalam situasi krisis dan bukan krisis. MERCY Malaysia juga telah berkembang menjadi organisasi kemanusiaan penuh yang menawarkan perkhidmatan kemanusiaan, daripada tindak balas kecemasan kepada pemulihan dan pemulihan, mitigasi dan pencegahan serta kesiapsiagaan bencana.

Sesi perkongsian selama dua jam ini telah diketuai oleh Pengerusi MERCY Perak Chapter Ts. Dr. Dzulkarnaen Ismail. Beliau banyak berkongsi berkenaan bantuan-bantuan yang telah dilaksanakan terutamanya ketika pendemik Covid-19 yang lalu. Dengan bantuan tiga lagi fasilitor yang hadir iaitu Ts. Dr. Mohd Najib Abd Rashid, Dr. Ezzat Fahmi Ahmad dan Ts. Mohamad Hamdan Othman, perkongsian berkaitan  bantuan yang diberikan kepada masyarakat seperti perubatan, makanan, pemulihan tempat tinggal dan sebagainya membuka mata para pelajar bahawa organisasi ini tidak hanya tertumpu kepada satu jenis bantuan sahaja tapi secara menyeluruh dengan kerjasama berbagai agensi NGO yang lain.

Diharapkan dengan adanya sesi perkongsian ini pelajar-pelajar dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dengan menggunakan ilmu serta kemahiran yang mereka perolehi sebagai pelajar Diploma Sains serta terlibat dengan aktiviti-aktiviti kesukarelawan.

Nur Nadirah binti Rodzali, Zaidatul Shakila binti Mohamad Ashari, Adibah binti Mohd Noor, Nazwa binti Jon, Mohd Ashmir bin Yahya, Umi Kalsum binti Abdul Karim, Maryam binti Mohammad