Arau, 10 Januari 2025 – Jabatan Undang-Undang UiTM Cawangan Perlis Kampus Arau telah berjaya menganjurkan sesi pengajaran kolaboratif dengan menjemput Puan Norintan Wahab sebagai resource person (RP) bagi kursus Introduction to Partnership and Company Law, LAW346 dalam menyampaikan perkongsian bertajuk “Introduction to Capital & Financing of Companies in Malaysia.”
Program yang berlangsung secara dalam talian ini merupakan sebahagian usaha para pensyarah dalam memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai konsep asas seperti struktur modal, tanggungjawab pengarah, dan kaedah pembiayaan syarikat di Malaysia mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Syarikat 2016. Sesi ini turut melibatkan penyertaan pelajar yang mendaftar subjek LAW346 dari Kampus Tapah dan Kampus Segamat. Kolaborasi antara kampus ini memperkayakan pengalaman pembelajaran, di mana pelajar berpeluang untuk bertukar pandangan dan mempelajari pendekatan yang lebih luas terhadap undang-undang korporat.
Program ini membuktikan usaha Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk menyediakan pendidikan yang relevan, di mana pelajar dapat belajar terus daripada pakar bidang seperti Puan Norintan Wahab. Program ini telah berjaya meningkatkan pemahaman mereka tentang pengurusan kewangan syarikat dan aspek perundangan yang mengawal selia kewangan tersebut. Pendedahan ini akan membantu pelajar untuk lebih bersedia dalam menghadapi cabaran dunia perniagaan serta memperkukuhkan asas pengetahuan mereka dalam bidang kewangan dan perundangan.
Sesi selama dua jam ini berlangsung dalam suasana interaktif, di mana pelajar berpeluang untuk mengajukan soalan dan berbincang secara langsung dengan resource person. Maklum balas daripada peserta adalah amat positif dan berharap agar lebih banyak sesi seumpama ini dapat diadakan pada masa hadapan. Perkongsian ilmu daripada mereka yang pakar dalam bidang mampu mencetus situasi pembelajaran yang lebih dinamik. Tuntasnya, kolaborasi antara kampus jelas membuktikan komitmen UiTM dalam menghasilkan graduan yang kompeten dan bersedia menghadapi cabaran dunia korporat.
Penulis bersama: Dr. Farihana Abdul Razak, Dr. Siti Asishah Binti Hassan, Puan Siti Mariam Binti Atan & Dr. Mohd Lotpi Bin Mohd Yusob