Sesi Pengajaran Kolaboratif FPP UiTM Cawangan Pahang Bersama Universitas Sebelas Maret, Indonesia

RAUB – Pada 1 November 2024 yang lalu, telah berlangsung sesi collaborative teaching yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Perniagaan dan Perbankan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) UiTM Cawangan Pahang dengan kerjasama Fakultas Ekonomi dan Bisnis, Universitas Sebelas Maret, Indonesia. Program ini melibatkan para pensyarah yang mengajar subjek Principles of Economics (ECO120) di FPP UiTM Cawangan Pahang dengan diketuai oleh Dr. Nur Fakhzan Marwan. Peserta program terdiri daripada 493 orang pelajar daripada kedua-dua buah universiti.

Program ini telah dijalankan secara atas talian melalui platform Google Meet dengan menampilkan pensyarah tamu daripada Fakultas Ekonomi dan Bisnis, Universitas Sebelas Maret, iaitu Dr. Malik Cahyadin, sementara Dr. Rosmah Nizam yang merupakan pensyarah bidang ekonomi di FPP UiTM Cawangan Pahang sebagai moderator program. Program ini berlangsung selama dua jam yang bermula pada jam 3.00 petang dan berakhir pada jam 5.00 petang.

Dr. Malik telah menyampaikan syarahan beliau yang bertajuk Unemployment among ASEAN countries. Program ini dijalankan bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dan jalinan antarabangsa antara UiTM Cawangan Pahang khususnya dengan universiti di negara jiran dan serantau. Ia juga dapat memberi pendedahan, pengetahuan, perspektif yang baru dan penerangan yang lebih jelas kepada para pelajar tentang keadaan ekonomi semasa khususnya tentang masalah pengangguran yang dihadapi oleh negara-negara ASEAN. Pengisian program ini diharapkan dapat memberi manfaat dan impak yang positif kepada para pelajar, menambah ilmu pengetahuan serta pengalaman baru di luar daripada bilik kelas.

Program berakhir pada jam 5.00 petang dengan sesi bergambar. Semoga kerjasama antara pihak institusi pengajian tinggi di Malaysia khususnya UiTM Cawangan Pahang dengan universiti di negara serantau dapat diteruskan di masa akan datang. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan program ini, termasuk para pensyarah FPP UiTM Cawangan Pahang dan Universitas Sebelas Maret, Indonesia serta para pelajar daripada kedua-dua buah universiti. Semoga usaha murni ini dapat memberi manfaat kepada para pelajar secara keseluruhannya.

Penulis: Ina Murni Hashim, Nur Fakhzan Marwan, Rosmah Nizam & Mawarti Ashik Samsudin