Sesi integrasi ilmu dan jaringan industri norma baru: QSVP 1.0

Pusat Pengajian Ukur Bahan, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah melakar sejarah apabila buat julung kalinya menganjurkan program Quantity Surveying Virtual Presentation 1.0 (QSVP 1.0) dengan norma baharu pada 18 Januari 2021. Seramai 90 orang pelajar terlibat dan dibahagikan kepada 10 kumpulan di mana mereka dibantu oleh 6 fasilitator yang terdiri dari para pensyarah Pusat Pengajian Ukur Bahan sendiri. Program ini telah menjemput 15 panel terdiri daripada pakar industri pembinaan yg mempunyai pengalaman lebih daripada 10 tahun untuk menghakimi hasil kerja para pelajar seterusnya berkongsi ilmu dan pandangan yg berguna sebagai pemain industri. Pembentangan bagi dua kumpulan setiap sesi telah berlangsung selama 2 jam. Di acara penutup, pemenang bagi 3 kumpulan yang telah mengumpul markah tertinggi diumumkan dan diberi sijil penghargaan.

Pembentangan yang dibuat secara maya ini adalah melalui sesi paralel di mana setiap sesi dihakimi oleh 3 panel industri, 1 moderator dan 2 kumpulan pelajar. Pada semester ini, para pelajar telah diberi tugasan untuk menyiapkan cadangan Pembangunan berdasarkan konsep ‘Transit-Oriented Development’. Cadangan pembangunan tersebut perlu dilaksanakan bermula dari tahap kajian awalan sehingga anggaran keuntungan projek tersebut diperolehi. Para pelajar perlu mengaplikasikan semua ilmu yang telah dipelajari pada semester-semester sebelumnya daripada pelbagai subjek, serta perlu mendapatkan data daripada pihak-pihak tertentu (industri dan badan kerajaan) bagi memastikan cadangan pembangunan tersebut lengkap dan bersesuaian dengan keadaan semasa industri pembinaan.

Sr Nik Hasbi dari Quantum Surveyor, selaku salah seorang daripada panel dan juga pemeriksa luar bagi Pusat Pengajian Ukur Bahan telah mengulas bahawa para pelajar telah melakukan tugasan dengan baik walaupun di dalam keadaan yang amat terhad untuk memperolehi maklumat dan mencapai pelaksanaan projek dengan jayanya. Manakala, Sr Irwan dari TH Properties berkata, walaupun para pelajar menyiapkan tugasan dengan jayanya, tetapi kerjasama di antara ahli kumpulan amat penting untuk memastikan tugasan yang dihasilkan lebih berkualiti. Sr Mohd Amir Adli daripada MMC-Gamuda juga berpendapat, para pelajar perlu membuat pembentangan dengan lebih teratur agar lebih mudah difahami.

Pakar daripada industri sangat bersemangat dalam perkongsian ilmu mereka kepada para pelajar. Mereka merasakan ini adalah salah satu tanggungjawab mereka untuk memberi sumbangan kepada anak bangsa terutama di UiTM, di mana sebahagian besar daripada mereka yang dijemput adalah alumni UiTM sendiri. Program pembentangan maya seperti ini bukan sahaja dapat membiasakan para pelajar dan pensyarah dengan norma baharu malah dapat membuktikan bahawa program seperti ini dapat dijayakan dengan lebih fleksibel dan membuka peluang kepada lebih banyak perkongsian ilmu.