Seri Alumni Di Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-96

Bagai sirih pulang ke gagang, begitulah ibaratnya kehadiran 18 orang alumni UiTM yang telah disantuni untuk menjayakan Perarakan Alumni bagi Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen UiTM ke-96 pada 20 Mei 2023 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.

Jemputan alumni pada kali ini adalah alumni yang terdiri daripada pelbagai bidang dan industri yang merangkumi Presiden/ Pengerusi Persatuan Alumni-Persatuan Alumni UiTM, alumni industri, alumni yang terlibat dibawah Majlis Alumni Universiti Awam dan juga alumni individu kepelbagaian bidang/ kepakaran serta lingkungan umur.

Menyedari betapa alumni ialah aset intelektual yang sangat bernilai kepada universiti, maka objektif utama penganjurannya adalah untuk mengeratkan hubungan antara para alumni dan UiTM, memperkukuhkan lagi jaringan industri, kolaborasi strategik dan jalinan profesional masing-masing dalam usaha membantu mentransformasikan UiTM menjadi universiti yang terkenal di peringkat global (globally renowned university). Pusat Jaringan Alumni ingin menyeru semua para alumni UiTM kembali menyumbang kepakaran dan juga idea-idea untuk kelestarian pembangunan UiTM.

Para alumni UiTM yang hadir bukan sahaja terlibat dalam Perarakan Alumni, malah juga berpeluang untuk menghadiri Majlis Santapan Diraja di Hotel UiTM bersama Pro-Canselor UiTM, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. Di samping itu, para alumni turut diraikan dalam sesi ramah mesra bersama YBhg. Profesor Datuk Dr Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Dr Mohamad Hariri Abdullah, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) dan seluruh warga ICAN.

Mereka melahirkan perasaan terima kasih dan penghargaan atas jemputan ini dan kesediaan untuk berkolaborasi dengan UiTM pada masa akan datang.

 

Wakil jemputan alumni, Encik Muhammad Nazri Kasmen, Pengarah Urusan Ittihad Trading & Resources Sdn Bhd, menyuarakan dalam ucapan beliau, “Terima kasih kepada ICAN UiTM yang mengundang kami menghadiri Istiadat Konvokesyen ke 96 ini. Kami rasa terharu dengan undangan ini. Daripada ratusan ribu alumni, kami yang terpilih. Ia merupakan sebuah penghargaan yang tidak ternilai. Tahniah kepada jawatankuasa ICAN yang menyambut dan melayan kami dengan sempurna. Kepada Alumni, saya mengucapkan tahniah, semoga kita terus bermanfaat kepada UiTM dan komuniti. UiTM di Hatiku.”

“Saya gembira sekali dapat menjejakkan kaki kembali ke UiTM dan dapat bersuai kenal dengan keluarga ICAN terutama sekali dapat beramah mesra secara dekat dengan Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor ICAN dan Pengarah ICAN sendiri. Saya juga turut berbangga apabila berpeluang berdiri bersama-sama alumni-alumni tempoh hari yang rata-rata mempunyai profil kerjaya yang sangat hebat. Saya mengharapkan kolaborasi yang membuahkan hasil di masa akan datang.” Nadiya Nisaa, graduan tahun 2008, Ijazah Sarjana Muda Penyiaran.

Semoga pertemuan ini menjadi titik permulaan kepada kolaborasi-kolaborasi yang lebih besar dan hebat serta memberi banyak manfaat ke arah pembangunan mampan UiTM.

Galeri Gambar: