Seramai 535 Mahasiswa Baharu Fakulti Sains Gunaan UiTM Shah Alam Hadir Program Sejenak Bersama Dekan

Professor Dr. Farida Zuraina, Dekan Fakulti Sains Gunaan (FSG)

SHAH ALAM (22 September 2019): Seramai 535 mahasiswa baharu yang terdiri daripada 333 orang lepasan asasi/matrikulasi dan 202 orang pelajar lepasan diploma telah menghadiri “Program Sejenak Bersama Dekan” anjuran Sekretariat Mahasiswa Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam dengan kerjasama 12 Persatuan Dalaman Pelajar. Program ini telah berlangsung dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang di Dewan Platinum, Kolej Melati dan Fakulti Sains Gunaan.

Majlis Pengurusan Eksekutif (MPE) Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam

Pada sebelah pagi, tiga ceramah berbeza yang bertajuk Akhlak dan Keperibadian, UiTM DiHatiku dan Tanah Airku, dan taklimat Perpustakaan telah disampaikan oleh penceramah-penceramah jemputan. Selepas itu, program diteruskan lagi dengan taklimat khas oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Akademik) dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) sebelum “Program Sejenak Bersama Dekan” dirasmikan oleh Professor Dr. Hajah Farida Zuraina binti Mohd Yusof (Dekan Fakulti Sains Gunaan) pada 12.00 tengahari.

Ceramah UiTM DiHatiku dan Tanah Airku disampaikan oleh Mohamad Azmi Adnan (Pengetua Kolej Teratai, UiTM Shah Alam)

Program ini juga turut dihadiri oleh Ketua-Ketua Pusat Pengajian, Ketua-Ketua Program dan Penasihat-Penasihat Persatuan Dalaman Pelajar. Tujuan utama program ini dianjurkan adalah untuk memperkenalkan Majlis Pengurusan Eksekutif (MPE) fakulti dan barisan kepimpinan pelajar seperti Majlis Perwakilan Pelajar, Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) dan Persatuan Dalaman (PD) pelajar. Mahasiswa baharu juga berpeluang untuk berdialog dengan Dekan Fakulti Sains Gunaan mengenai hal-hal yang berkaitan.

Mahasiswa baharu selepas tamat aktiviti ekplorasi dan slot bersama 12 Persatuan Dalaman pelajar

Pada sebelah petang pula, mahasiswa baharu terlibat dengan aktiviti eksplorasi sekitar Fakulti Sains Gunaan dan UiTM Shah Alam bagi memahami selok-belok persekitaran dan merapatkan hubungan antara mahasiswa yang mengikuti pelbagai program pengajian di fakulti. Akhir sekali, mereka juga meluangkan masa bersama-sama Persatuan Dalaman masing-masing bagi memupuk minat pelajar dalam pengurusan organisasi dan aktif berpersatuan dalam usaha melahirkan mahasiswa yang holistik iaitu cemerlang dalam bidang akademik dan bukan akademik.

Oleh: Mohd Sufri Mastuli, Fakulti Sains Gunaan (FSG), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

0
0