Seri Iskandar, 8 Jun 2024 – Seni kitar semula adalah satu inisiatif penggiat seni dalam melaksanakan aktiviti penghasilan karya seni kreatif dengan menggunakan bahan dari sisa buangan. Karya seni yang menggunakan bahan kitar semula selalunya merujuk kepada karya seni yang berbentuk environmental atau mempunyai nilai kesedaran dan sifat mencintai alam semula jadi. Sisa bahan buangan, sisa jumpaan atau sisa serat sebagai bahan alternatif yang akan diolah semula dalam pelbagai medium dan format untuk menghasilkan karya yang berteraskan alam semulajadi.
Ekspresi seni kitar semula bukanlah perkara baru dalam dunia visual, bahkan kita dapat membandingkan pergerakan seni dari masa lampau. Sebagai contoh karya seni kolaj yang dihasilkan oleh Pablo Picasso dan George Braque yang menggunakan bahan surat khabar dan majalah lama dalam penghasilan karya seni mereka pada awal abad ke-20 seperti Pop Art, Trash Art atau Drap Art. Pada tahun 2002, William McDonough dan Michael Braungart berjaya mendefinisikan konsep ini iaitu upcycling dalam buku mereka “Cradle to Cradle. Redesigning the way we do things”. Pendekatan ini juga boleh dirujuk kepada karya oleh Marcel Duchamp. Penggunaan bahan-bahan yang dipanggail “discarded” ini merupakan salah satu strategi artistik Duchamp dengan meminjam, mengubah suai subjek, objek dan idea.
Oleh itu, dengan inisiatif Program Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Perak dan juga tajaan daripada Geran Dana Kreatif Perak (DKP) & People of Remarkble Talents (PORT) telah menganjurkan satu program bicara seni yang membincangkan tentang Seni Kitar Semula : “From Waste to Art” bertempat di Kapallorek Artspace, Seri Iskandar, Perak. Panel jemputan adalah terdiri daripada individu yang bergiat aktif dalam industri Seni Visual di Malaysia yang memfokuskan terhadap bidang seni kitar semula. Mereka mempunyai latar belakang dan kepakaran yang berbeza antaranya kurator, akademia dan juga pengarca iaitu En Erry Arham Azmi kurator dari Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Cik Mursyida Zainal Abidin Pensyarah Kanan Program Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Shah Alam, dan juga Puan Nor Tijan Firdaus iaitu pengamal industri Seni Visual. Turut menjemput En Izaddin Matrahah selaku moderator bicara seni ini.
Program ini telah berlangsung dengan jayanya seperti yang dirancang selama 3 jam 45 minit, bermula pada pukul 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 12.45 tengah hari. Peserta yang menghadiri bicara seni ini adalah terdiri daripada pelajar dan pensyarah dari UiTM Seri Iskandar, alumni UiTM Seri Iskandar, pelajar sekolah sekitar perak tengah, penggiat seni dan juga komuniti setempat.
Kesimpulannya, program ini berjaya menjadi salah satu usaha untuk membantu para pendidik, para pelajar, para kolektor, para pelukis, para penyelidik dan institusi seni untuk memahami dan mempunyai kriteria tuntas dalam melihat kepentingan bahan kitar semula sebagai salah satu medium yang penting dalam penghasilan karya seni yang bermutu. Bahkan boleh menjadi sebahagian daripada proses rujukan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran.