Seni Dan Kretiviti: Pertandingan Arca “3D Arts” Daripada Bahan Kitar Semula

Seri Iskandar, 8 Jun 2024 – Satu festival seni kitar semula ‘From waste to art’ yang melibatkan tiga program berlandaskan kepada kitar semula telah diadakan di Kapallorek Artspace, Seri Iskandar Perak. Antara program yang dilaksanakan ialah Pertandingan Arca Kitar Semula “3D Arts”, Bengkel Seni Cetakan Kitar Semula ‘TETRA PRINT’ dan Bicara Seni Kitar Semula. Program ini telah dijayakan oleh Kumpulan Creative Collection for Artistic Learning and Mastery (CCALAM) yang terdiri daripada pensyarah dari Jabatan Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Seri Iskandar, Perak. Pertandingan arca kitar semula ini telah dibiayai oleh geran Dana Kreatif Perak (DKP) & PORT yang diketuai oleh Cik Rosmidahanim Razali.

Program ini telah dirasmikan oleh Dr. Aznan Omar selaku Ketua Pusat Pengajian, Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Seri Iskandar, Perak. Turut hadir bersama-sama bagi memeriahkan majlis ialah Dr. Mohd Fawazie Arshad, Ketua Pengajian Seni Halus, dan wakil daripada People of Remarkable Talents (PORT) Ipoh, Perak iaitu Encik Muhammad Hanif Baharul Wafi.

Pertandingan arca kitar semula ini telah melibatkan beberapa institusi daripada Sekolah Menengah, IPTA, IPTS dan pengarca muda lepasan Universiti. Pendaftaran dan penyertaan yang diterima amat menggalakkan khususnya daripada pelajar sekolah menengah. Seramai 108 orang telah mendaftar bagi program tersebut. Pemilihan pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga serta tiga hadiah saguhati telah dipilih berdasarkan kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Bagi pemilihan pemenang dan hadiah saguhati untuk pertandingan arca kitar semula ini telah dilakukan oleh juri yang dilantik daripada pihak penganjur yang terdiri dikalangan pengarca yang aktif di dalam Malaysia. Selain daripada program pertandingan arca kitar semula turut diadakan juga aktiviti pameran karya arca kitar semula di galeri Kapallorek yang telah berlangsung selama dua minggu bermula dari 8 Jun 2024 sehingga 21 Jun 2024. Sebanyak 14 buah karya arca kitar semula telah dipilih dan dipamerkan kepada masyarakat awam.

Aktiviti pameran ini diadakan sebagai satu cara menarik pengunjung untuk hadir serta melihat dengan lebih dekat kreativiti dan bahan yang digunakan oleh peserta pertandingan.  Selain itu, pameran seni ini juga berfungsi sebagai mendidik masyarakat berkaitan estetika kesenian dan menjadi sumber komunikasi atau medium interaksi kepada masyarakat untuk memberikan makna yang lebih luas terhadap pameran seni.

Program kitar semula memainkan peranan penting dalam usaha mengurangi masalah pencemaran alam, menjaga sumber daya alam dan membentuk masyarakat yang lebih lestari serta bertangunggjawab terhadap alam sekitar. Kepentingan pertandingan arca kitar semula ini adalah sebagai salah satu inisiatif untuk menggalakkan pengarca seni dari pelbagai peringkat usia menghasilkan karya kreatif dengan menggunakan bahan kitar semula. Selain meraikan seni arca tempatan, program ini juga dapat memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam diri setiap individu khususnya di kalangan pelajar.

Penganjuran pertandingan arca kitar semula ini bukan sahaja berperanan untuk mengurangi isu pencemaran alam sekitar di negara kita malahan program berbentuk seni ini juga sebagai galakkan kepada generasi muda untuk menyumbang idea kreatif bagi melahirkan idea yang inovatif. Kreativiti memainkan peranan yang sangat penting dalam mencipta sesuatu yang baharu dan melibatkan idea yang menarik serta kreatif. Selain itu, kelebihan lain dengan menggunakan bahan kitar semula ini, ia dapat membantu menjimatkan masa, wang dan juga tenaga. Penggunaan bahan kitar semula dalam penghasilan karya arca juga dapat menyumbang kepada pembangunan negara yang mampan dan pemeliharaan alam sekitar.

Inisiatif dari Kumpulan Creative Collection for Artistic Learning and Mastery (CCALAM) ini bukan sekadar bertujuan menangani gejala lambakan sisa buangan dan berlakunya pencemaran alam sekitar secara berleluasa malahan pertandingan arca kitar semula ini juga berperanan bagi melahirkan ramai pengarca muda yang kreatif dan inovasi menggunakan bahan buangan sebagai media untuk menghasilkan arca seni. Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan penyelesaian inovatif untuk pengurusan sisa terbuang tetapi juga memupuk rasa tanggungjawab terhadap amalan yang mampan dalam kalangan masyarakat kita yang pelbagai kaum.