Kuala Lumpur, 29 Disember 2024 – Satu program berkaitan seni dan kraf iaitu “Sanggar Seni” telah berlangsung di Kedai.KL, Block B, MAHSA Avenue, Kuala Lumpur. Program ini dianjurkan oleh Regalis Event Management, iaitu pelajar tahun akhir bagi program Sarjana Muda Pengurusan Majlis (Kepujian). Program Sanggar Seni ini bertujuan mempamerkan kreativiti dan bakat seni yang dimiliki anak muda tempatan serta memberi peluang kepada mereka untuk menguruskan sebuah program seni secara profesional.
Program Sanggar Seni menerima kunjungan dari YBhg. Prof. Dr. Firdaus Abdullah, Dekan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), dan Dr. Janiffa Saidon, Ketua Pusat Pengajian. Sanggar Seni ditaja oleh Malaysian Youth Community (MYC), Jack ‘n Jill, Hausboom, Belhams, Space Dudes Studio, 888 Teh & Coffee, Cili Montel, Sugar Bun, Bow Arrow Academy, dan Sekretariat Mahasiswa Anak Pahang.
Aktiviti utama Sanggar Seni melibatkan bengkel-bengkel seni dan kraf, sementara aktiviti sampingan merangkumi persembahan nyanyian, tarian, serta pameran seni. Antara bengkel yang paling mendapat perhatian ramai ialah MyGalleriaBatik, iaitu bengkel batik painting, diikuti dengan bengkel jahitan silang sulaman, Tie Dye, Flower Bouquet, Seramik Zen (tembikar), decoupage, dan bengkel mengait. Program ini dimeriahkan lagi dengan pelbagai jenis vendor kopi, manisan, serta pakaian.
Sanggar Seni yang dianjurkan oleh Regalis Event Management dibawah bimbingan Encik Muhammad Hafizi Zamri dan Puan Ayu Rohaidah Ghazali telah memberikan impak positif kepada para peniaga, artis tempatan dan komuniti yang menghadiri Sanggar Seni. Program ini juga mencapai objektif dengan mengeratkan hubungan masyarakat melalui seni dan kraf.
Penulis: Tuan Roziana Tuan Abdul Rahman