Pendaftaran Keluar Pelajar Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM Cawangan Sabah (UiTMCSH)

TAWAU: Pengalaman sejumlah 228 pelajar program Pra Pendidikan Tinggi (PPT), Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau dalam menimba ilmu pengetahuan selama 5 bulan bukan sahaja dapat membina jambatan ke Menara Gading, bahkan mereka telah mengambil peluang yang diberikan UiTM bagi persediaan melanjutkan pengajian hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Selaras dengan falsafah UiTM, semua pelajar Pra Diploma Perdagangan dan Pra Diploma Sains pada semester ini telah mengambil kesempatan terhadap peluang yang terbuka luas bagi mencapai kecemerlangan ilmu pengetahuan serta penerapan nilai murni ke dalam jiwa mereka agar lebih kompetetif dan tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Dalam pada itu, semasa Pendaftaran Keluar pelajar di Kolej Kediaman Sebatik dan Kolej Kediaman Sipadan, selaku Staf Residen Kolej, Encik Asmad Mohd Noor sempat berpesan kepada semua pelajar agar sentiasa terus melangkah ke hadapan dengan yakin dan berusaha untuk mengapai impian masing-masing.

“Selamat pulang ke kampung halaman dan semoga sukses dalam menempuh pengalaman kehidupan baharu, wish you all the best!,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Saudara Rani Shafie Ahmad, selaku Presiden Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK), turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua staf akademik dan staf pentadbiran khususnya pihak pengurusan UiTMCSH Kampus Tawau kerana sudi memberi peluang kepada beliau untuk mengasah bakat kepimpinan di dalam menjayakan pelbagai program dan aktiviti pelajar, sama ada di dalam mahupun di luar kampus.

Pada masa yang sama, Rani turut mengakui dalam tempoh hanya satu semester untuk menjadi seorang pemimpin pelajar bukanlah suatu tugas yang mudah kerana beliau perlu membahagikan masa di antara tugasan akademik dan penganjuran pelbagai aktiviti pelajar yang disifatkannya sebagai “keceriaan kampus”.

“Hari ini adalah hari terakhir bagi saya serta pelajar lain berada di kampus “comel” ini dan sudah semestinya akan menjadi memori indah yang tidak dapat saya lupakan,” jelasnya.

Sebagai makluman, pelajar Pra Diploma di bawah program PPT, UiTMCSH Kampus Tawau telah menempuh peperiksaan akhir Semester Oktober 2022 – Februari 2023 bermula dari 6 hingga 21 Februari 2023.