PERLIS, 6 Julai 2023 – Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Perlis telah menganjurkan Program Seminar “Talk Professional Practice: The Role of GIS in the Sustainability of the Electric Power Industry” yang bertempat di Dewan Kuliah 6 (LT6) Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis pagi tadi. Program ini disampaikan oleh Encik Mohd Nadzari Ismail (Penyelidik Utama TNB), Ts. Gs. Sarah Hanim Samsudin (Penyelidik TNB) dan Ts. Mohamad Amirul Hafiz Abd Hamid (Jurutera TNB).
Program bermakna ini merupakan anjuran para pelajar kelas RAP2207A dan RAP2207B yang sedang mengikuti kursus Amalan Keprofesionalan (GSS682) bagi sesi Mac – Ogos 2023. Program ini telah dirasmikan oleh Sr. Ashnita Rahim (Koordinator Program), wakil Ketua pusat Pengajian, Kolej Pengajian Alam Bin, UiTM Cawangan Perlis. Turut hadir Sr. Gs. Dr Fazly Amri Mohd, Pensyarah Kanan dan juga merangkap penasihat program, barisan pensyarah serta para pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Ukur dan Geomatik dan pelajar pasca siswazah, Kolej Pengajian Alam Bina (KAB).
Program ini telah berlangsung dari pukul 10 pagi sehingga pukul 12 tengah hari dan dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Wawasan Setia Warga UiTM dan diiringi dengan bacaan doa. Para penceramah telah menyampaikan perkongsian ilmu mengenai peranan bidang GIS dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi kajian lepas tentang peranan GIS dalam membuat empangan, lokasi menara kable elektrik, sedimentasi sungai di Cameran Highlands dan pelbagai lagi. Di akhir program, penceramah juga berpeluang menyantuni pelajar dan menjawab beberapa soalan yang diutarakan oleh para pelajar yang berada di dalam dewan LT6.
Sekalung tahniah diucapkan kepada Saudari Nurul Syazana Binti Kamarudin Arifin selaku Pengarah Program, dibantu ahli jawatankuasa pelaksana program yang terdiri daripada pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Ukur dan Geomatik (Semester 7) yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan dan melaksanakan program yang cukup bermakna ini. Tidak dilupakan jugak kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Semoga perkongsian ilmu ini memberi impak yang positif kepada semua yang terlibat.