Seminar Suara dari Pena: Inspirasi Penulisan Kreatif

 

3 Oktober 2024 – Seminar “Suara dari Pena” telah diadakan di Bilik Seminar, Kenanga 3, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam anjuran Unit Penyelidikan dan Penerbitan Akademi Pengajian Bahasa (APB). Seminar ini diadakan bertujuan untuk memberi galakan dan pendedahan kepada pensyarah untuk meningkatkan kemahiran dalam penulisan artikel yang berkualiti bagi penerbitan media. 

Seminar ini menampilkan dua penceramah jemputan dari Kumpulan Harian Metro, iaitu Encik Ramasamy Chellachamy, Ketua Penyunting Kumpulan Harian Metro dan wartawan Encik Muhammad Saufi Hassan. Kedua-dua penceramah ini berkongsi kepakaran mereka dalam menghasilkan kandungan kreatif yang berkualiti, menarik dan sesuai untuk diterbitkan. Dengan pengalaman luas mereka dalam dunia kewartawanan, Encik Ramasamy dan Encik Muhammad Saufi turut memberi panduan dalam menyusun idea, menarik minat pembaca, serta memastikan penulisan memenuhi standard media.

Inisiatif seminar ini selaras dengan nilai-nilai teras Universiti Teknologi MARA yang menekankan kepentingan pengetahuan, kreativiti, dan inovasi. UiTM sentiasa berusaha untuk memperkasa para pensyarah dan pelajarnya agar tidak hanya berjaya dalam bidang akademik, tetapi juga dalam industri kreatif yang semakin berkembang. Melalui seminar ini, pensyarah UiTM didorong untuk mengasah kemahiran penulisan mereka, yang merupakan salah satu komponen penting dalam meningkatkan kualiti penyelidikan dan penerbitan akademik universiti. Tambahan pula, seminar ini menggambarkan usaha UiTM untuk melibatkan staf dalam aktiviti yang memupuk kebolehan menulis serta menghasilkan karya-karya yang memberi impak dalam masyarakat.

Diharapkan melalui seminar Suara dari Pena ini, pensyarah UiTM dapat memupuk kreativiti dalam penulisan akademik mereka, meningkatkan kualiti penulisan media, dan seterusnya menghasilkan karya-karya yang memberi impak kepada masyarakat. Program ini juga menyokong komitmen UiTM dalam melahirkan penulis-penulis yang berkualiti dalam kalangan stafnya, sejajar dengan visi universiti untuk menjadi pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan yang dihormati di peringkat global.

Penulis: Haslinda Md Isa