Seminar Physics Outreach 4.0: Penerokaan Aplikasi dan Risiko Radiasi dalam bidang Perubatan dan Industri

Rabu – 22 Mei 2024. Seminar Physics Outreach 4.0 yang bertemakan aplikasi dan risiko radiasi dalam bidang perubatan dan industri telah diadakan baru-baru ini dengan tujuan untuk menarik minat pelajar dalam mempelajari Fizik Moden dan khususnya memberi pengetahui bagaimana aplikasi Radiasi dalam perubatan dan industri dapat dimanfaatkan. Seminar yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak Kampus Tapah ini telah disertai oleh semua pelajar dari program Diploma Sains semester 4 dalam aliran Fizik. Seminar ini telah menghimpunkan pakar-pakar dari UiTM cawangan Shah Alam dan Agensi Nuklear Malaysia untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka. Perhimpunan ini juga bertujuan untuk melaksanakan pengajaran Kolaboratif antara UiTM dan industri bagi mendedahkan pelajar pada penyelidikan terkini dan info mengenai kerjaya dalam bidang fizik. Selain memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan pakar yang berpengalaman, program ini juga dapat memberi motivasi kepada pelajar melalui pengalaman alumni UiTM yang berjaya dalam industri Fizik.

Penceramah pertama, Dr Norkartini Jaafar merupakan Pensyarah Kanan, UiTM cawangan Shah Alam telah memberi penerangan mengenai radiasi dan memperkenalkan pelbagai aplikasi radiasi dalam bidang perubatan. Antara antipati ceramah beliau adalah bagaimana Sinar X (X-ray) digunakan dalam menghasilkan imej dalam badan seperti tulang dan organ dalaman. Proses ini dapat membantu pakar perubatan membuat diagnosis yang lebih tepat pada pesakit. Selain radiasi digunakan bagi tujuan diagnosis, radiasi juga boleh digunakan dalam rawatan pesakit kanser, di mana radiasi dapat menembak sel-sel yang kanser yang tidak diperlukan.

Program diteruskan dengan menjemput Cik Nabilah binti Ramli penceramah dari Agensi Nuklear Malaysia dan juga merupakan alumni UiTM dalam Aliran Fizik Diploma Sains. Beliau menceritakan penjalanan karier beliau bermula dari menjadi pelajar Diploma di UiTM hingga berjaya menjadi seorang pengawai penyelidik di Agensi Nuklear Malaysia. Selain itu, beliau juga memberi sedikit penerangan berkaitan dengan risiko radiasi dan cara mengatasinya di dalam industri. Pelajar sangat teruja apabila beliau berkongsi mengenai penyelidikan yang beliau sedang jalankan iaitu bagaimana kumpulan beliau berjaya mencipta alat pengesan radiasi yang innovatif dan memenangi pertandingan innovasi peringkat antarabangsa. Beliau juga berkongsi pengalaman berkursus di pelbagai negara dan bertemu dengan pakar-pakar nuklear dari serata dunia.

Secara keseluruhannya, seminar ini telah berjaya membuka mata dan minda pelajar Diploma Sains aliran Fizik untuk lebih menerokai Fizik dalam pelbagai applikasi kerana bidang fizik ini luas dan sedang pesat membangun. Dengan pendedahan sebegini diharap pelajar beroleh manfaat dan inspirasi dari seminar ini dan diharapkan dapat dijalankan lagi di masa hadapan.

Penulis: Nurul Aimi Zakaria, Dr Siti Nasuha binti Mohd Rafien dan Siti Sumaiyah binti Sheikh Abdul Aziz