SEGAMAT, 26 Oktober 2023. Seminar Perubatan Islam diadakan di UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat. Seminar anjuran Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) ini dihadiri seramai hampir 100 orang dikalangan staf pentadbiran dan akademik, pelajar juga masyarakat setempat. Penceramah jemputan iaitu Ustaz Nazrudin Hashim (Pensyarah Kanan ACIS) merupakan pengamal perubatan Islam.
Perubatan Islam adalah satu usaha dalam merawat penyakit yang berasaskan wahyu diambil dari petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah. Allah SWT menyuruh setiap hambaNya berusaha mencari penawar bagi setiap penyakit yang dihidapi. Usaha tersebut merupakan satu ibadah bagi seorang Muslim untuk mencari keredaan Allah SWT. Pada masa kini, perubatan Islam menjadi suatu perkara yang sangat penting. Dalam al-Quran Allah SWT telah menjelaskan bahawa ayat suci al-Quran merupakan syifa’ (Penawar). Oleh itu, satu seminar ini dirangka bagi memberikan kefahaman yang tepat tentang perubatan Islam dan mengelakkan syirik (menyekutukan Allah SWT) serta perkara khurafat. Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud, “Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi Ubat dan rahmat bagi orang-orang yang beriman”. (Al-Isra’:82).
Pada zaman moden ini, amalan khurafat masih lagi wujud. Antaranya sihir, santau dan saka. Kaedah ini merupakan suatu amalan syirik yang perlu dijauhi dan akan merosakkan aqidah umat Islam. Amalan ini disebabkan sifat manusia yang tidak mengetahui ilmu atau amalan yang tepat di dalam Islam. Masyarakat beriktiar dengan mencari kaedah yang mudah untuk menyelesaikan masalah sakit, kaya dan sebagainya dengan cara yang salah. Malah kaedah rawatan dalam Islam juga boleh dikhtiarkan kepada pesakit fizikal seperti sakit kulit dan demam.
Oleh yang demikian, kaedah perubatan Islam perlu diberi pendedahan yang tepat untuk membetulkan aqidah umat Islam agar tidak terjebak dengan perubatan yang boleh membawa kepada syirik. Dengan mengamalkan ayat suci al-Quran atau rukyah akan menjadikan manusia tunduk dan patuh kepada Allah SWT serta meyakini bahawa setiap penyakit ada penawarnya. Semasa seminar satu yang menarik dapat diberikan penceramah adalah ayat-ayat penyembuhan dan diakhir semua peserta dibacakan ruqyah untuk niat penyembuhan penyakit.
Semoga program ini dapat membantu staf, pelajar dan orang ramai mengamalkan al-Quran dan zikir setiap hari serta lebih yakin dan tenang. Yang utama adalah menyakini setiap penyakit Allah sahaja yang dapat menyembuhkannya. Diharap program ini akan diadakan lagi pada masa akan datang.