Seminar Peralihan Tenaga & Kelestarian Alam 2024 – Kerjasama UCS dan TNB

11 MEI 2024 – Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan UiTM Cawangan Selangor (UCS) telah menjalinkan kerjasama dalam penganjuran Seminar Peralihan Tenaga & Kelestarian Alam 2024 bagi menyokong Inisiatif Kerajaan melalui Malaysia Energy Literacy Program (MELP) yang memfokuskan peningkatan kepekaan rakyat dalam penggunaan tenaga yang lebih lestari.

Seminar Peralihan Tenaga & Kelestarian Alam 2024 melibatkan 5 siri penganjuran bermula Mei 2024 hingga Oktober 2024. UiTM Cawangan Selangor (UCS) telah dipilih sebagai kampus pertama untuk siri penganjuran seminar ini dan akan diikuti oleh UiTM Cawangan Johor, UiTM Cawangan Perak, UiTM Cawangan Pulau Pinang dan di UiTM Cawangan Terengganu.

Perasmian majlis di Kampus Puncak Alam disempurnakan oleh Ketua Retail Negeri (Selangor) TNB, YBrs. Ir. Ahmad Barodi Che Noh di Kolej Dahlia Kampus Puncak Alam, yang turut dihadiri oleh Rektor UCS, YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman. Seminar yang telah diadakan di Kampus Puncak Alam buat julung kalinya ini telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 500 penglibatan peserta, dengan seramai 400 orang mahasiswa dan 100 kakitangan UCS.

Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang seminar berlangsung di Dewan Dahlia UCS Kampus Puncak Alam yang melibatkan 3 slot utama seminar antaranya Perkongsian Kecekapan Penggunaan oleh TNB, Demonstrasi Renjatan Elektrik oleh Fakulti Sains Kesihatan UCS dan kuiz berkaitan peralihan tenaga dan kelestarian alam yang dikendalikan oleh penganjur. Mahasiswa UCS juga disajikan dengan persembahan daripada pelajar dari Kolej Dahlia.

 

Pada akhir majlis, perkongsian berkenaan pengurusan bakat telah diadakan oleh TNB bagi meningkatkan keyakinan mahasiswa berhadapan dengan cabaran dalam dunia pekerjaan sebenar seterusnya mempersiapkan mahasiswa dengan nilai kebolehpasaran graduan melalui tip-tip berguna melalui sesi perkongsian bersama komuniti, industri dan juga alumni yang telah dikenalpasti dalam program seminar ini.

#UCSCemerlang