Seminar Halatuju Kerjaya Selepas Tamat Universiti

Isnin, 29 April 2024: Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Perlis telah menganjurkan Program Seminar Halatuju Kerjaya Selepas Tamat Universiti yang bertempat di Dewan Kuliah 6 (LT6, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis petang tadi. Program ini telah disampaikan oleh Encik Amran Bin Bachok, Pengarah Teknikal Teknologi KBSE SDN BHD.

Program bermanfaat ini merupakan anjuran para pelajar kelas yang sedang mengikuti kursus Amalan Keprofesionalan (GSS682) seramai 60 orang bagi sesi Mac – Jul 2024. Program ini telah dirasmikan oleh Sr. Dr. Rohayu Haron Narashid iaitu Ketua Pusat Pengajian. Turut hadir sama ialah Sr. Ashnita Rahim(Koordinator Program), Sr. Gs. Dr Fazly Amri Mohd dan Dr. Mohd Adly Rosly (Pensyarah Kursus & Penasihat program), barisan pensyarah serta para pelajar Kolej Pengajian Alam Bina (KAB).

Program ini telah berlangsung selama dua jam ini dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Wawasan Setia Warga UiTM dan diiringi dengan bacaan doa. Para penceramah telah menyampaikan perkongsian ilmu mengenai kepentingan perancangan halatuju pada masa hadapan dalam kalangan pelajar serta kebolehpasaran bidang programming yang melibatkan IT serta cabang yang dapat diterokai mengikut kepakaran bidang programming di dalam sesuatu organisasi. Di akhir program, penceramah juga berpeluang menyantuni pelajar dan menjawab beberapa soalan yang diutarakan oleh para pelajar yang berada di dalam dewan LT6.

Sekalung tahniah diucapkan kepada Saudara Sayyid Muhammad Syed Zainal Abidin selaku Pengarah Program, dibantu ahli jawatankuasa pelaksana program yang terdiri daripada pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Ukur dan Geomatik (Semester 7) yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan dan melaksanakan program yang cukup bermakna ini. Tidak dilupakan juga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Semoga perkongsian ilmu ini memberi impak yang positif kepada semua yang terlibat.