Pahang, 22 Jun 2024 – Sebuah seminar antarabangsa bertemakan "Islam Sebagai Ad-Din" telah dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Cawangan Pahang. Seminar ini bertujuan memberikan pemahaman kepada mahasiswa mengenai konsep gaya hidup Islam, atau Ad-Din, serta cara mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian untuk memastikan gaya hidup mahasiswa selari dengan ajaran Islam.
Seminar ini menarik penyertaan mahasiswa dari Malaysia, Indonesia, Thailand, dan Brunei Darussalam, serta melibatkan penceramah dari UiTM Cawangan Pahang, Institut Agama Islam Tafaqquh Fiddin, Prince of Songkhla University, dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali. Selain berkongsi pengetahuan dan pengalaman, seminar ini turut menganjurkan pengajaran kolaboratif antara UiTM dan universiti luar negara bagi memperkenalkan pelajar kepada konteks kehidupan sebagai pelajar Muslim serta maklumat terkini mengenai konsep gaya hidup Islam.
Majlis dimulakan dengan ucaptama bertajuk "Islam sebagai Cara Hidup Seorang Mahasiswa" yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Mohd Kamal Azman Jusoh, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, UiTM Cawangan Pahang. Dalam ucaptamanya, Dr. Kamal menerangkan bagaimana mahasiswa perlu menerapkan nilai-nilai ibadah dalam kehidupan seharian di universiti, termasuk memelihara maqasid syariah—iaitu menjaga agama, jiwa, akal, harta, dan maruah—untuk menjadi mahasiswa yang berjaya dan menghormati Islam sebagai agama.
Selepas ucaptama, program diteruskan dengan ucapan perasmian oleh YBrs. Prof. Dr. Wan Mohd Nazri Wan Abdul Rahman, Timbalan Rektor (Penyelidikan & Jaringan Industri) yang menjalankan fungsi Rektor UiTM Cawangan Pahang. Dalam ucapannya, Prof. Dr. Wan Mohd Nazri menekankan pentingnya memahami dan menghayati konsep Ad-Din dalam kehidupan seharian mahasiswa agar mereka dapat
mengaplikasikan nilai-nilai Islam dalam setiap aspek kehidupan, seterusnya menjadi pemimpin yang berintegriti dan berjaya di dunia dan akhirat.
Program diteruskan dengan pembentangan oleh Dr. Mohd Nasir Ayob, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Cawangan Pahang, dan Dr. H. Muhammad Rizal Akbar, Ketua Yayasan Institut Agama Islam Tafaqquh Fiddin, Dumai, Indonesia. Mereka membincangkan topik "Tanggungjawab Belia Islam dalam Mendepani Pengaruh Liberalisme dalam Masyarakat," di mana Dr. Rizal mengulas sejarah liberalisme dan penerimaannya di seluruh dunia.
Seminar juga menampilkan forum bertajuk "Kemahiran Berkomunikasi dalam Membina Gaya Hidup Islam di Kampus atau Universiti," yang disertai oleh empat mahasiswa dari empat negara. Mereka adalah Saudara Amirul Firdaus Mohd Khiril Anuar (UiTM Pahang, Malaysia), Saudari Mardiah Nasution (Institut Agama Islam Tafaqquh Fiddin, Dumai, Indonesia), Saudara Muyaheedeen Tohseng (Prince of Songkhla University, Thailand), dan Saudara Dzulkhairi bin Haji Ibrahim (UNISSA, Brunei). Forum ini membincangkan impak kemahiran berkomunikasi dalam mencapai kata sepakat dalam organisasi mahasiswa.
Secara keseluruhan, seminar ini berjaya membuka mata dan minda mahasiswa mengenai kepentingan menjadikan Islam sebagai tonggak utama dalam kehidupan seharian. Penganjur berharap agar seminar seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan serta memberi manfaat dan inspirasi kepada pelajar.