Tawau, 21 Julai 2024 – Reruai pameran pendidikan Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau antara yang mendapat sambutan sangat memberangsangkan sempena Program Selangkah ke Menara Gading 2024 (SEMEGA’24), anjuran Pejabat Parlimen Tawau dan Pejabat Pendidikan Daerah pada 20 – 21 Julai bertempat di Dewan Masyarakat Tawau, Sabah.
SEMEGA’24 melibatkan pameran pendidikan oleh institusi pengajian dan agensi dari seluruh Malaysia untuk memberikan peluang kepada pelajar dan ibu bapa mendapatkan pendedahan mengenai pendidikan tinggi.
Selain pameran pendidikan, pelbagai aktiviti lain turut diadakan seperti Majlis Anugerah Bestari Pelajar Cemerlang SPM dan STPM 2023 bagi Parlimen Tawau, taklimat wakil institusi dan agensi, persembahan kebudayaan pelajar sekolah serta cabutan bertuah kepada pengunjung.
UiTMCSH Kampus Tawau diketuai oleh Koordinator Kampus, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling bersama staf akademik dan staf pentadbiran bagi berkongsi pelbagai maklumat yang berkaitan dengan tawaran kemasukan ke UiTM.
“Semasa pameran kita telah memberi panduan, tatacara pemohonan mengikuti program-program yang ingin diceburi di UiTM serta penerangan tentang peluang-peluang pengajian selain kemudahan yang disediakan UiTM kepada para pelajar”, kata Koordinator Kampus.
“Kami “tak menang tangan”, kehadiran pengunjung kali ini lebih meriah dengan adanya pelbagai aktiviti sampingan oleh penganjur berbanding SEMEGA’23”, tambah Dr. Azmin Pullong, Pensyarah Kanan.
Program SEMEGA’24 telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen P.190 Tawau, Yang Berhormat Datuk Lo Sui Fui dengan penglibatan sejumlah 41 institusi pengajian dan agensi serta kehadiran pengunjung lebih daripada 3,000 murid dan guru.