Pada 18 April, 24 April dan 2 Mei 2024 telah berlangsung sesi sembang santai bersama penyelia pelajar pascasiswazah di ketiga-tiga kampus UiTM Cawangan Negeri Sembilan iaitu di kampus Kuala Pilah, Rembau dan Seremban. Program yang berlangsung secara fizikal ini adalah satu inisiatif Pusat Pengajian Siswazah UiTM Cawangan Negeri Sembilan (PPS UiTM CNS) untuk memberikan peluang kepada penyelia berkongsi pendapat, keperluan, masalah atau apa sahaja berkaitan dengan penyeliaan bersama dengan pihak pengurusan. Dengan berlakunya pertukaran buah fikiran dua hala ini pihak PPS UiTM CNS dapat menambahbaik dan memantapkan lagi pengurusan berkaitan pascasiswazah.
Sesi ini diterajui oleh dua orang pengurus utama PPS UiTM CNS iaitu Dr Nur Rahimah Said selaku Ketua Pusat Pengajian dan Dr Sharfizie Mohd Sharip selaku Koordinator Pusat Pengajian. Kedua-dua mereka menyampaikan infomasi berkaitan proses dan prosidur penyeliaan pelajar (mod penyelidikan) secara terperinci. Ini bertujuan bagi memastikan penyelia memahami dengan jelas perjalanan pembelajaran pelajar seliaan mereka yang berlaku secara penyelidikan sepenuh masa atau separuh masa di peringkat sarjana dan kedoktoran.
Antara yang ditekankan dalam program ini adalah prosidur asas yang perlu dilalui serta difahami oleh seorang pelajar pascasiswazah bermula dari proses pendaftaran sehinggalah beliau menamatkan pengajian. Turut dinyatakan juga takwim pengkuliahan yang perlu diambil maklum oleh penyelia bagi memastikan tidak berlaku sebarang keciciran dari tarikh-tarikh penting. Sepanjang program ini juga, penyelia diberi makluman mengenai peluang-peluang pembiayaan kepada pelajar mereka bagi memastikan mereka turut mendapat peluang penajaan sekaligus dapat mengurangkan beban kewangan ketika dalam pengajian.
Signifikannya program dijalankan mengikut kampus adalah kerana mengetahui akan kekangan masa dikalangan penyelia yang terikat dengan jadual yang padat dan pelbagai tugasan. Inisiatif bergerak ke setiap kampus ternyata memberikan satu peluang yang baik untuk pihak PPS mendekati dan menyantuni penyelia-penyelia dengan lebih dekat dan mesra. Sejajar dengan nama program yang lebih kepada perbualan santai, pendekatan ini ternyata memberikan satu impak yang positif kepada peserta, dan sudah pastinya mendapat sambutan diperingkat penyelia.
Hasil dari program ini didapati, semua penyelia berpuas hati dengan pelaksanaan program ini, dimana ramai yang berpendapat bahawa ianya merupakan satu insitiatif yang terbaik yang perlu dilakukan oleh PPS dan dijadikan sebagai satu program tahunan. Ini adalah kerana, penyelia berpendapat kadang-kala apabila terdapat pemakluman atau pekeliling baharu yang tidak sampai ataupun tidak jelas difahami oleh penyelia, platform ini dilihat sebagai satu cara yang tepat dan mudah. Selain makluman dapat dikongsi, ianya memberi ruang kepada penyelia menyuarakan sebarang kemuskilan ataupun kekeliruan, sekaligus memudahkan maklumat dikongsi dengan lebih tepat dan terus.
Secara keseluruhannya ternyata program sebegini merupakan inisiatif terbaik yang dibuat oleh PPS UiTM CNS dalam memastikan keberkesanan pengurusan pelajar pascasiswazah di peringkat Cawangan. Penganjuran program seumpama ini sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan kepada penyelia akan peranan mereka yang sebenar disamping dapat berkongsi pendapat dan pandangan ke atas keberkesanan pengurusan PPS UITM NS dan sekaligus mendukung objektif Institut Pengajian Siswazah (IPSIS) UiTM untuk memenuhi matlamatnya bagi menyediakan peluang kepada graduan Bumiputera melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Kedoktoran.