UiTM Kota Samarahan, 23 Ogos 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Samarahan dengan bangga menerima kunjungan hormat daripada Yang Berhormat Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Premier dan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan serta Kerajaan Tempatan, sempena Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024.
Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk meninjau salah satu lokasi acara sukan SUKMA XXI yang berlangsung di kampus UiTM Kota Samarahan. Yang Berhormat Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian tiba di Dewan Jubli dan disambut oleh pihak pengurusan UiTM Kampus Samarahan, termasuk Y. Bhg. Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Mohammad Isa bin Mohamadin, Yang Menjalankan Fungsi Rektor, dan Y. Bhg. Prof. Madya Dr. Saimi Bujang, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar.
Kedatangan beliau turut diserikan dengan kehadiran pasukan sukan catur Sarawak yang sedang bertanding di lokasi tersebut. Dalam lawatan ringkas namun bermakna ini, Yang Berhormat Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian mengambil masa untuk beramah mesra dengan para atlet serta para pengunjung yang hadir. Beliau juga tidak lupa untuk memberikan kata-kata semangat dan sokongan kepada pasukan sukan Sarawak yang masih berjuang dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.
Pertandingan sukan catur di Dewan Jubli berlangsung sehingga 24 Ogos 2024 (Sabtu). Kehadiran Yang Berhormat Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian ke lokasi sukan ini telah memberikan suntikan semangat dan motivasi yang amat bermakna kepada para atlet. Ia juga mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Sarawak dalam menyokong dan memartabatkan sukan di peringkat tertinggi.
Sebagai salah satu lokasi penting dalam SUKMA XXI, UiTM Kampus Samarahan berbangga kerana dapat memainkan peranan besar dalam memupuk semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan atlet dan masyarakat. Kunjungan yang penuh makna ini sekali lagi membuktikan sokongan padu Kerajaan Negeri Sarawak terhadap pembangunan sukan di peringkat kampus dan komuniti setempat.
Yang Berhormat Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian dalam kunjungannya memuji pihak pengurusan UiTM Kota Samarahan yang telah bekerja keras memastikan agar acara sukan ini dapat berjalan dengan lancar. Beliau berharap kerjasama erat antara pihak kerajaan negeri dan institusi pengajian tinggi dapat diteruskan pada masa akan datang demi memartabatkan bidang sukan negara. UiTM Kampus Samarahan bangga menjadi salah satu lokasi penting dalam SUKMA XXI, yang memainkan peranan besar dalam memupuk semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan atlet dan masyarakat.