Selangkah Ke Dunia Baharu – Pengurusan Masa yang Efektif Untuk Pelajar Baharu

4 Oktober 2024, Bertam – Pada hari terakhir program Minggu Destini Siswa (MDS), pelajar-pelajar baharu Fakulti Sains Kesihatan (FSK) UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam telah diberikan sedikit perkongsian berkenaan tips dan strategi pengurusan masa yang efektif.

Sesi ini telah dimulai dengan pengenalan oleh Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Kesihatan, Ts. Dr. Muhammad Nabil Fikri Roslan, diikuti sesi perkongsian oleh Puan Norsyaqina Shamsudin, pensyarah serta Penyelaras Program Pemulihan Cara Kerja. Sesi ini telah dihadiri kira-kira 270 pelajar yang terdiri daripada program-program kejururawatan, teknologi makmal perubatan, Kesihatan persekitaran, fisioterapi dan juga pemulihan cara kerja.

Mengupas topik berkaitan pengurusan masa adalah sangat penting untuk kepada para pelajar, terutamanya bagi mereka yang baharu memnginjak ke alam universiti. Ini kerana pengurusan masa yang baik dapat memastikan para pelajar dapat mengurangkan stress, terutamanya apabila mereka sedang mengalami proses peralihan daripada alam persekolahan ke kehidupan sebagai pelajar universiti. Antara manfaat-manfaat yang dapat diperoleh dari pengurusan masa yang baik termasuk dapat menyelesaikan tugasan dalam masa yang telah ditetapkan secara efektif, mengelakkan ketangguhan, penghantaran kerja dengan kualiti terbaik serta mempunyai masa yang cukup untuk melibatkan dalam aktiviti sihat yang pelbagai selain akademik.

Para pelajar telah disarankan untuk mengambilkira tips dan strategi seperti membuat jadual waktu harian, penggunaan alat visual untuk menentukan perkembangan tugasan, serta penggunaan peranti yang mempunyai fungsi “timer” agar mereka dapat menfaatkan masa yang telah diagihkan dengan kadar yang paling berkesan. Diharapkan agar semua pelajar baharu mendapat manfaat melalui perkongsian ini, dan bersedia dengan penuh dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar Universiti.