Selamat Ulang Tahun ke 25 UiTM; Sederap Melangkah Bersama Hal Ehwal Pelajar UiTM

28 Ogos 2024. Shah Alam – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berjaya menganjurkan majlis ‘Gala Dinner’ serentak di semua kampus UiTM di seluruh Malaysia. Di UiTM Shah Alam, majlis ini berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) yang turut dihadiri oleh Kebawah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sarafuddin Idris Shah, Tengku Permaisuri Selangor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, mantan-mantan Naib Canselor UiTM, wakil Alumni UiTM, serta dif-dif kehormat dan wakil fakulti dan kampus.

Majlis ‘Gala Dinner’ ini dianjurkan bersempena dengan sambutan Jubli Perak UiTM yang ke-25. Pada 26 Ogos 1999, Institut Teknologi MARA (ITM) telah diisytiharkan sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM). Hari ini, UiTM dengan penuh kebanggaan meraikan ulang tahunnya sebagai sebuah universiti terkemuka di Malaysia, terus melangkah maju dalam membina anak bangsa menjadi graduan profesional bertaraf dunia, sejajar dengan visinya ‘UiTM2025 – Globally Renowned, Locally Rooted’.

UiTM telah mencipta pelbagai rekod cemerlang sepanjang 25 tahun perjalanannya, terutamanya dalam pembangunan pelajar yang dipacu oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), yang kini diterajui oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi. Pencapaian di peringkat kebangsaan dan antarabangsa ini adalah hasil perancangan teliti, usaha gigih, serta kerjasama erat yang dijalinkan oleh pelbagai pihak.

JHEP UiTM memainkan peranan penting dalam membentuk generasi pelajar yang holistik dan berdaya saing. Pelbagai program dan aktiviti telah dirangka melalui Pelan Perancangan Strategik Bahagian Hal Ehwal Pelajar 2020-2025 (PPS-BHEP), yang berpaksikan Transformasi Mahasiswa UiTM (TAMU), bagi membangunkan bakat mahasiswa dan memenuhi aspirasi universiti ke arah menjadi institusi terkemuka dunia.

Inisiatif strategik JHEP termasuk iS1-Virtual HEP, iS2 Kolej Pintar, iS3 Koridor Keusahawanan, iS4 Keperihatinan dan Kesejahteraan, iS5 Kecemerlangan Bakat, iS6 Kelestarian Jati Diri, iS7 Model Pemerkasaan Mahasiswa UiTM, dan iS8 Kompetensi Global, yang telah digerakkan oleh pelbagai pusat tanggungjawab di bawah JHEP. Semua inisiatif ini dirangka untuk memastikan setiap projek diselesaikan dengan tahap kejayaan yang tinggi.

Tahniah kepada seluruh warga UiTM dan JHEP yang telah berusaha gigih dalam memastikan UiTM terus mencapai kejayaan. Semoga UiTM terus melangkah maju untuk mencapai visinya menjelang tahun 2025 dan menjadi nama yang dikenali di seluruh dunia. Selamat Ulang Tahun ke-25, UiTM!

Penulis Utama:

Prof. Madya Dr. Alwi Mohd Yunus, Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Profesor Dr. Sazili Shahibi

 

Penulis Bersama:

Najihah binti Azmi, Ekhwan Shafiq Abdul Khalik, Norsafarina Mohd Yusoff, Hafiz Askiak, Nor Azlin Rosli, Mohd Shukor Abd Rahman