Dua atlet memanah UiTM dan seorang penolong pegawai belia & sukan kanan UiTM akan membawa cabaran negara di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 kali ke 20 bertempat di Ubon Ratchathani, Thailand. AUG ialah acara sukan dwitahunan yang melibatkan atlet dari universiti negara anggota ASEAN. Temasya sukan ini dikawal selia oleh Majlis Sukan Universiti ASEAN (AUSC) yang ditubuhkan pada 1980 dimana bandar Chiang Mai, Thailand menjadi tuan rumah pertama pada tahun 1981 dan kali terakhir acara sukan berprestij ini diadakan adalah pada tahun 2018 bertempat di Nay Pyi Taw, Myanmar.
Muhammad Farhan Hakim bin A.Rhyme, pelajar SR241 Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan (Kepujian) di UiTM Seremban 3 menyertai acara memanah recurve manakala Mohamad Syafiq bin Md Ariffin pula adalah pelajar SR243 Ijazah Sarjana muda Sains Sukan (Kepujian) di UiTM Shah Alam menyertai acara memanah compound. Encik Mukhriz bin Mohamed, bertindak sebagai salah seorang jurulatih daripada pegawai pasukan yang seramai 3 orang jurulatih dan seorang pengurus.
Pasukan Malaysia telah menjalani latihan pusat selama seminggu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan akan bertolak pada hari Isnin, 25 Julai 2022. Acara memanah akan diadakan pada 1 hingga 6 Ogos 2022 di Ban Yang Noi Campus.
Seluruh warga UiTM dan rakyat Malaysia mendoakan kesemua atlet negara pulang dengan kejayaan cemerlang.