Sekalung Ucapan Tahniah kepada Prof. Dato’ Dr. Hj. Jamil Hj. Hamali, UiTM Sarawak atas Penerimaan Pingat Peringatan Bakti Jubli Intan

UiTM Sarawak, 20 Ogos 2024 – Seluruh warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Prof. Dato’ Dr. Hj. Jamil Hj. Hamali, Profesor Khas, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, atas penerimaan anugerah berprestij, Pingat Peringatan Bakti Jubli Intan (Perak) bersempena 60 Tahun Sarawak Merdeka dalam majlis penganugerahan yang diadakan di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri, Sarawak.

Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa beliau dalam pelbagai bidang terutamanya bidang pendidikan dan pentadbiran universiti. Prof. Dato’ Dr. Hj. Jamil Hj. Hamali, yang telah menunjukkan dedikasi tinggi dalam perkhidmatan di UiTM Sarawak, diiktiraf atas usaha gigih dan komitmen beliau dalam memajukan institusi dan memacu kecemerlangan akademik di peringkat nasional dan antarabangsa. Kepimpinan beliau yang berwawasan serta visi yang jelas telah membawa UiTM Sarawak ke tahap yang lebih tinggi, menjadikan universiti ini sebagai sebuah institusi yang dihormati dan disegani.

Seluruh warga UiTM Sarawak merasa bangga atas pencapaian Prof. Dato’ Dr. Hj. Jamil. Beliau adalah contoh teladan yang unggul bagi seluruh warga UiTM Sarawak. Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan kejayaan peribadi beliau, tetapi juga kejayaan kolektif seluruh warga universiti yang turut sama berusaha ke arah kecemerlangan dan kemajuan untuk masa depan. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah pelbagai tetamu kehormat, pegawai-pegawai kerajaan, dan wakil-wakil daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi.

Pingat Peringatan Bakti Jubli Intan (Perak) ini adalah satu penghormatan yang amat berprestij, yang diberikan kepada individu-individu yang telah memberikan sumbangan luar biasa dalam bidang masing-masing. Anugerah ini juga bertujuan untuk mengiktiraf jasa dan bakti yang dicurahkan dalam memajukan masyarakat dan negara. Dengan penerimaan anugerah ini, diharapkan terus menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.