TAWAU, 30 JANUARI 2023 – Jawatankuasa “Safety Committee Under Department” (SCUD), Universiti Teknologi MARA, Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah mengadakan Latihan Pengungsian Bangunan dan Kebakaran (Fire Drill), semester Oktober 2022 – Februari 2023 melibatkan sejumlah 228 pelajar.
Objektif utama latihan ini adalah untuk memastikan semua warga kampus khususnya para pelajar sentiasa berwaspada dan siapsiaga terhadap amaran kecemasan di samping mengetahui tindakan segera yang perlu diambil sekiranya berlaku sebarang kes kecemasan di dalam kampus.
Latihan dimulakan, sejurus sistem penggera kebakaran dibunyikan dan diikuti dengan tindakan segera proses pengungisan bangunan Kolej Kediaman Pelajar oleh pasukan ahli Jawatankuasa SCUD bersama Ketua Blok dan Ketua Aras.
Serentak dengan itu, semua penghuni yang ada di dalam bangunan Kolej Sipadan dan Kolej Sebatik diarahkan bergegas keluar mengikut aras masing-masing ke Tempat Berkumpul Kecemasan dengan menggunakan laluan kecemasan yang telah ditetapkan.
Setibanya di Tempat Berkumpul Kecemasan, proses pengiraan bilangan penghuni yang keluar dari bangunan dan membandingkan dengan penghuni asal yang ada dalam bangunan dilakukan oleh setiap Ketua Aras dan Ketua Blok. Seterusnya, Ketua Insiden akan menerima maklumat dan laporan jumlah penghuni yang ada bagi setiap kolej.
Selepas latihan dijalankan, semua penghuni terlibat diberi taklimat mengenai hasil Latihan Pengungsian Bangunan dan Kebakaran (Fire Drill) yang disampaikan oleh Encik Asmad Mohd Noor, mewakili Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling selaku Ketua insiden.
Mivlovin Mirlo Mumin, 19, pelajar Program Pra Diploma (Perdagangan) berkongsikan pengalaman beliau tentang kepentingan latihan Fire Drill.
“Bagi saya, latihan pagi ini memberikan kesedaran tentang tindakan yang perlu saya lakukan untuk menyelamatkan diri ketika berlaku kebakaran. Saya juga amat berbangga dengan rakan-rakan kerana telah memberikan kerjasama yang baik. Namun, terdapat juga segelintir pelajar yang masih kurang peka terhadap amaran kecemasan seperti ini”, tambah Mivlovin.
Di penghujung program, pihak Jawatankuasa SCUD memuji tindakan pantas penghuni Kolej Kediaman Pelajar semasa proses pengungsian bangunan dijalankan dan berharap agar latihan seumpama ini dapat ditambah baik di masa hadapan.