Sayembara Puisi Merdeka UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 13 September 2020 – Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah menganjurkan Sayembara Puisi Merdeka Antara Bahagian UiTM Cawangan Kelantan dan Perhimpunan Bulanan bersama Rektor yang dirasmikan oleh Rektor UiTMCK, Profesor Madya Dr. Zulkifli Mohamed bertempat di hadapan Foyer Pentadbiran UiTMCK pada Ahad lalu.

Program ini dilaksanakan bertujuan untuk melahirkan individu-individu di kalangan staf yang berkebolehan dan berbakat besar dalam penyampaian karya sastera puisi yang semakin dilupakan pada masa kini. Pada waktu yang sama, ia juga dilakukan bagi memeriahkan sambutan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun.

Selain itu, antara objektif utama program yang bertemakan “Kemerdekaan, Cinta Negara dan Nilai UiTM (ESI)” ini adalah untuk menyuburkan semangat cintakan negara dan menghayati semangat kemerdekaan di samping mengukuhkan jati diri warga UiTMCK dengan penghayatan rukun negara serta nilai UiTM (ESI).

Seramai 10 orang peserta yang terdiri daripada wakil staf setiap bahagian di UiTM Cawangan Kelantan telah menyertai pertandingan ini iaitu Pejabat Rektor, Bahagian Hal Ehwal Akademik, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Penyelidikan, Jaringan & Alumni, Bahagian Pentadbiran, Bahagian Kewangan, Bahagian Pengurusan Fasiliti, Kampus Kota Bharu dan Bahagian Perpustakaan.

Pemakaian staf dan warga UiTMCK juga menarik perhatian apabila masing-masing memakai pakaian yang bertemakan kemerdekaan dan patriotisme. Semua yang hadir juga tidak melepaskan peluang merakam gambar dan video sepanjang majlis tersebut. Para peserta juga kelihatan begitu bersemangat menunjukkan bakat masing-masing dalam mendeklamasikan puisi yang begitu indah dan puitis.

Kemenangan berpihak kepada Encik Mohamad Aziz Awang yang mewakili Bahagian Hal Ehwal Akademik (Pentadbiran) dengan puisi yang bertajuk “Kitalah Warga Merdeka yang Mengerti”. Selain itu, Encik Mohd Rosli Ismail yang mewakili Bahagian Pengurusan Fasiliti telah memenangi tempat kedua manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh satu-satunya peserta wanita iaitu wakil daripada Bahagian Kewangan, Puan Norizziyani Mohd Ghazali.

Mengulas lanjut, Profesor Madya Dr. Zulkifli Mohamed berkata di dalam ucapan beliau, “Negara yang baik adalah sebuah negara yang aman, harmoni, mempunyai ekonomi yang baik serta mempunyai rakyat yang saling bekerjasama dan bantu-membantu antara satu sama lain. Masyarakat haruslah sama-sama berganding bahu bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang bukan hanya mementingkan keperluan materialistik namun harus memahami tujuan manusia dijadikan untuk menjadi pemimpin sesebuah kerajaan. Oleh itu, warga UiTM haruslah menjadikan UiTM ini sebagai sebuah tempat untuk kita mengisi semangat kemerdekaan di dalam diri kita”. Setelah menamatkan ucapan penutup, beliau juga tidak melepaskan peluang untuk menunjukkan bakat mendeklamasikan sebuah puisi hasil karya beliau sendiri.