Sambutan ulang tahun ke-50 Pusat Pengajian Perancang Bandar dan Wilayah UiTM penuh nostalgia

ALUMNI bersama pensyarah dan pelajar Pusat Pengajian Perancangan Bandar dan Wilayah UiTM. – Foto/ISHAK CHE ABDULLAH

PUNCAK ALAM 12 Mac – Naib Canselor bersama tokoh alumni dan pelajar Pusat Pengajian Perancangan Bandar dan Wilayah Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur (FSPU), UiTM telah memeriahkan Majlis perasmian Sambutan Ulangtahun ke-50 Pusat Pengajian ini di Dewan Berlian, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, pada 4 Mac lalu.

Dekan FSPU, Profesor Dr. Jamalunlaili Abdullah mewakili Naib Canselor UiTM hadir menyempurnakan perasmian majlis ini.

Dalam teks ucapan Naib Canselor yang dibacakan oleh Dekan, telah menekankan peranan penting UiTM dalam melatih anak bangsa dan melahirkan modal insan untuk pembangunan Negara. Ucapan terima kasih turut diberikan kepada para alumni yang telah banyak memberi sokongan dan sumbangan kepada kejayaan Pusat Pengajian.

Majlis perasmian telah mengumpulkan beberapa tokoh ternama seperti Pengasas Program Perancangan Bandar dan Wilayah, Dr Mohamed Thalha Ali Thamby dan Pengasas Program Senibina, Profesor Emeritus Ezrin Arbi. Pengarah Urusan APUDG dan Pengarah Urbanice, Norliza Hashim, yang juga Penaung Bersama TRP Alumni Homecoming turut datang menyerikan majlis perasmian.

Selain itu, Pengarah Bahagian Penyelidikan PlanMalaysia, Datuk Dr. Zainah Ibrahim turut hadir untuk menyampaikan kuliah jemputan alumni yang pertama, bertajuk “Pemuliharaan Warisan di Malaysia”.

Kehadiran ramai alumni di majlis ini mengimbau banyak kenangan lama sewaktu menuntut di ITM/UiTM. Antara alumni yang hadir adalah Prof Madya Wan Mohamed Yusoff Abdullah (batch pertama Diploma), Ahmad Zamri Kamaruddin (batch kedua Diploma), Idris Ali Muda (batch ketiga Diploma).

Alumni bidang Perancangan Bandar dan Wilayah telah banyak mengukir nama di sektor awam, swasta dan pendidikan tinggi. Antara alumni yang hadir termasuklah Datuk Ismail Ngah yang merupakan Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara yang pertama dan isteri Toh Puan Rozaimi Zainuddin, Datuk Shahoran Johan Ariffin, mantan Pengarah Landskap Perbadanan Putrajaya dan isteri Datin Nooraini Ismail, CEO IIUM Porperties Datuk Mohd Yusoff Abdullah.

Kehadiran semua pelajar dan pensyarah dari Pusat Pengajian Perancangan Bandar dan Wilayah UiTM Kampus Puncak Alam dan Kampus Seri Iskandar telah menggamatkan lagi Dewan Berlian dengan diiringi persembahan di atas pentas.

Menurut Dekan Fakulti lagi, program ini telah berjaya mengukuhkan ukhwah serta menemukan alumni dan bekas pensyarah di samping menjadi platform untuk berkongsi ilmu yang bermanfaat.

Selain ulang tahun ke-50, Pusat Pengajian akan menganjurkan beberapa program di sepanjang tahun 2019, antaranya adalah syarahan undangan Alumni, hari keluarga, jamuan teh, mencari harta karun, sukan, khidmat masyarakat dan pelbagai program menarik yang lain.

Sokongan dan penglibatan para alumni TRP dalam acara-acara yang akan dianjurkan pasti akan memeriahkan lagi sambutan 50 tahun yang penuh nostalgia. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sambutan-ulang-tahun-ke-50-pusat-pengajian-perancang-bandar-dan-wilayah-uitm-penuh-nostalgia-1.859252#ixzz5hxkUBhFL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0
0