20 Ogos 2024 – Simposium Antarabangsa Pendidikan Bahasa & Seni (International Symposium of Language & Arts Education – iSOLA) 2024 yang ke-5 telah dilaksanakan dengan jayanya bertempat di Fakultas Bahasa, Seni dan Budaya, Universitas Negeri Yogyakarta, Indonesia. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri, Pengarah Pendidikan Malaysia Indonesia, Kedutaan Malaysia di Jakarta.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh tetamu kehormat, YBhg. Prof. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris, Dekan Fakulti Pendidikan UiTM; YBhg. Prof. Dr. Nur Hidayanto, Dekan Fakultas Bahasa, Seni dan Budaya, Universitas Negeri Yogyakarta (UNY); dan YBhg. Prof. Dr. Phil Yudi Sukmayadi, Dekan Fakultas Pendidikan Seni dan Desain, Universitas Pendidikan Indonesia (UPI).
iSOLA 2024 yang bertemakan “Lokaliti Budaya dan Kreativiti Global” bertujuan meraikan penerokaan budaya dan penyelidikan pendidikan dalam bidang seni, bahasa dan budaya dari Malaysia dan Indonesia. Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universitas Negeri Yogyakarta (UNY) dan Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) merupakan penganjur bersama, dengan sokongan rakan kolaboratif termasuk Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Sekolah Seni Malaysia, Yayasan Seni Selangor, Galeri Shah Alam, dan Institut Pendidikan Guru.
Sempena sambutan dekad iSOLA, pelbagai aktiviti menarik telah diatur termasuk simposium akademik, bengkel dan forum bicara seni, pameran seni dan inovasi, karnival pendidikan dan kebudayaan serta program khidmat komuniti. Kemuncak acara ialah Majlis Menandatangani pelbagai perjanjian kerjasama, termasuk Memorandum Persefahaman (MoU), Memorandum Perjanjian (MOA), dan Surat Minat (LoI) antara UiTM dengan institusi yang terlibat, termasuk SMK Negeri 5 Yogyakarta dan Yayasan Pesantren dan Panti Asuhan Bima Bakti Yogyakarta.
Adalah diharapkan agar iSOLA 2024 dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak yang terlibat, seterusnya menyumbang kepada pembangunan institusi pendidikan yang berkompetensi dan berketerampilan dalam bidang pendidikan bahasa, seni dan budaya. Usaha ini sejajar dengan aspirasi ASEAN untuk meningkatkan kelestarian kualiti dan daya saing pendidikan di rantau dalam memastikan kesinambungan warisan budaya serumpun dalam era globalisasi.
Oleh: Sumardianshah Silah (Pengarah iSOLA2024)