Puncak Alam, 12 Oktober 2024 – Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat UiTM Cawangan Selangor 2024 berlangsung dengan penuh kemeriahan, disertai oleh 1,384 orang pelajar. Program tersebut diadakan di Dewan Berlian, Kampus Puncak Alam dan dirasmikan oleh YBrs. Prof Madya Dr. Badrul Isa, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, mewakili Rektor.
Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan sepanjang program berlangsung, termasuk Klinik Asas Sukan Boling Padang yang dikendalikan oleh Puan Haslah Hasan, Ketua Unit Sukan juga merupakan mantan pemain kebangsaan Malaysia. Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta untuk mendalami teknik asas dalam sukan boling padang.
Selain itu, program ini menyaksikan penglibatan pelajar dalam acara Powerwalk sejauh 1.5km, Penalti Futsal, Penalti Bola Sepak, Penalti Bola Jaring dan sesi Zumba yang turut menjadi salah satu tarikan utama kepada para pelajar. Sambutan Hari Sukan ini tidak hanya menggalakkan penglibatan aktif dalam sukan. Malah, menjadi medium untuk meningkatkan semangat kesukanan dan silaturahim antara pelajar di UiTM Cawangan Selangor.
Program seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang untuk menyemarakkan lagi semangat kesukanan dan menyumbang kepada gaya hidup sihat di kalangan warga kampus.