SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2024 PUSAT PENGAJIAN SAINS (PPS)

JENGKA, Pahang, 4 Mei 2024 – Persatuan Diploma Sains (PERDIPSA) dengan kerjasama Organization of Biology Progeny (OBEY), Organization of Biodiversity Club (ORBID), Physics Association Club (PHYSA), dan Chemistry Association Club (CHEMSA) telah mengadakan program Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pusat Pengajian Sains (PPS) secara bersemuka yang bertempat di Dewan Indera Segara. Program yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 1 petang melibatkan seramai 319 mahasiswa dan 20 orang pensyarah di bawah Pusat Pengajian Sains, UiTM Cawangan Pahang (UiTM CPh), Kampus Jengka.

Melalui pelaksanaan program ini, ia dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa dan pensyarah PPS. Semua yang hadir dapat meraikan bulan kemenangan dengan sambutan Hari Raya ini serta menerapkan sifat kemaafan sesama warga PPS. Sambutan kali ini telah disempurnakan dengan ucapan oleh Dr. Nurul Syahidah binti Sabri selaku wakil koordinator PPS.

Pelbagai jenis juadah yang disajikan seperti nasi hujan panas, mi kari, rendang ayam, nasi impit, kuih – muih dan minuman. Program ini juga diserikan dengan nyanyian yang dipersembahkan oleh pelajar diploma sains yang merupakan ahli kelab kebudayaan UiTM CPh. Disamping itu, sambutan ini juga dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah kepada 50 orang pelajar.

Secara keseluruhan, penganjuran program seperti ini dilihat dapat mengeratkan ukhwah dikalangan warga PPS UiTM CPh.