Sambutan Hari Kayu Sedunia (WWD) 2022 UiTM Cawangan Pahang


Pusat Pengajian Industri Perkayuan (Fakulti Sains Gunaan), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang telah menganjurkan Program Sambutan Hari Kayu Sedunia (WWD) 2022 pada 24 Mac 2022 bertempat di Hutan Pembelajaran UiTM dan Bengkel Industri Perkayuan UiTM Cawangan Pahang. Program sambutan Hari Kayu Sedunia ini adalah bersempena Hari Hutan Antarabangsa yang disambut pada 21 Mac setiap tahun. Antara objektif utama penganjuran program ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kelestarian peranan kayu serta kegunaan kayu dalam masyarakat. Sambutan kali ini bertemakan “Pokok Untuk Kebaikan: Cabaran,Peluang dan Kelestarian”.

Program Sambutan WWD 2022 ini telah dirasmikan oleh Rektor Kampus UiTM Cawangan Pahang, YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd. Ilham Adenan. Gimik perasmian turut disempurnakan oleh beliau dengan meletakkan simbol ”hati” di tengah logo World Wood Day yang diperbuat daripada spesies kayu kebangsaan iaitu Merbau (Intsia palembanica) dengan diiringi oleh YBhg. Profesor Ts. Dr. Mohd Nazip Suratman, Felo Utama Institute for Biodiversity and Sustainable Development dan Puan Norhafizah Rosman, Ketua Pusat Pengajian Industri Perkayuan. Terdapat pelbagai program yang telah dijalankan untuk memeriahkan lagi program sambutan WWD 2022 ini, antaranya adalah aktiviti penanaman anak pokok spesies komersil oleh tetamu kehormat, tetamu jemputan, alumni dan peserta yang terdiri daripada pengusaha-pengusaha kraf. Manakala, aktiviti demonstrasi ukiran arca pula telah ditunjukkan oleh Adiguru Kraf Muhaimin Hasbollah yang juga merupakan Felo Bersekutu Pusat Pengajian Industri Perkayuan (PPIP) bersama pasukan Inakraf Wood Carving menggunakan kayu Chengal (Neobalanocarpus heimii).

Program Sambutan WWD 2022 ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran para jemputan dari industri, syarikat, organisasi serta institusi pengajian tinggi yang terdiri daripada Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Sarawak Timber Industry Development Corporation (STIDC), Kraftangan Malaysia, CHEP (M) Sdn. Bhd., Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM), Inakraf Wood Carving, Kayuma Industry, Warisan Craft Wood, SSFC, Boss Seven Engineering Sdn. Bhd. dan Taik Sin Timber Industry Sdn. Bhd. dan juga Kolej Vokasional Muadzam Shah. Turut memeriahkan program kali ini adalah kehadiran dan penyertaan dari alumni WOODTECH dan FURTECS.

Penganjuran Program Sambutan Hari Kayu Sedunia 2022 juga merupakan usaha PPIP UiTM Cawangan Pahang untuk mencapai beberapa agenda dalam Matlamat Pembangunan Kelestarian (SDG). Dalam menyahut baik matlamat pembangunan lestari yang telah ditetapkan, terdapat beberapa agenda yang dapat dipetakan yang mempunyai bidang tumpuan kepada agenda ke 11; Bandar dan Komuniti yang Mampan, yang mana ia menumpukan penggunaan kawasan sedia ada supaya lebih lestari. Seterusnya agenda ke 13; Tindakan Iklim yang memberi tumpuan utama kepada aktiviti penanaman pokok untuk penghijauan bumi yang mana ia dapat membantu menangani perubahan iklim semasa. Manakala bagi agenda ke 15; Kehidupan di Darat turut memberi tumpuan kepada keperluan menguruskan hutan secara mampan dan dapat mengendurkan degradasi tanah. Bagi agenda ke 17; Kerjasama Demi Matlamat, ia memberi tumpuan utama untuk menguatkan jalinan hubungan kerjasama dan kolaborasi dengan pihak organisasi luar dalam mengembangkan matlamat kelestarian SDG.

Sambutan Hari Kayu Sedunia 2022 pada kali ini diharapkan dapat meningkatkan lagi kesedaran semua pihak terhadap peranan dan kepentingan hutan serta sumber kayu di dalam kesinambungan kehidupan. Ia juga penting bagi mewujudkan keseimbangan dan keharmonian hubungan di antara manusia dengan alam semulajadi.

Penulis: Mazlin Kusin, Junaiza Ahmad Zaki, Norhafizah Rosman, Ahmad Fauzi Awang