Program Celik Kewangan Bersama ASNB telah berjaya dianjurkan dengan jayanya oleh Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Pahang. Program ini telah berlangsung pada 26 dan 27 Oktober 2022 bertempat di Dewan Serbaguna Tun Teja. Ia dihadiri oleh kira-kira 800 orang peserta dari kalangan pelajar dan staf UiTM Pahang. Objektif program untuk memberi kesedaran mengenai pengurusan kewangan yang bijak telah berjaya dicapai berdasarkan maklumbalas peserta. Pihak ASNB turut memberi peluang kepada peserta untuk membuka akaun pelaburan dengan menyediakan kiosk bergerak. Empat puluh peratus dari peserta telah melabur di dalam unit amanah saham. Selain itu, program ini turut mendapat penyertaan daripada pihak institusi kewangan lain seperti Affin Bank, Maybank dan RHB Bank. Peserta telah didedahkan dengan pelbagai tips kewangan dari institusi-institusi ini sebagai persediaan menguruskan kewangan masa hadapan.
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Pahang selaku penganjur program amat berpuashati dengan sambutan menggalakkan dari para peserta. Peserta juga diberi peluang untuk merebut hadiah saguhati dengan menjawab soalan kuiz kewangan dan pelaburan. Penglibatan aktif peserta dalam kuiz berkenaan menunjukkan tahap kefahaman dan minat yang tinggi kepada ilmu kewangan. Mereka juga memberi respon yang sangat baik sepanjang program dengan menanyakan soalan-soalan berkaitan kewangan dan pelaburan kepada pihak ASNB.
Pihak ASNB menyambut baik kerjasama yang telah diberikan dari peserta dan penganjur. Mereka juga mengharapkan untuk meneruskan jalinan kerjasama di masa akan datang dalam usaha mendidik bumiputera mengenai ilmu pengurusan kewangan khususnya pelajar dan staf UiTM. Encik Muhammad Hilal bin Abdul Karim selaku Ketua ASNB (Jualan Dan pemasaran) Wilayah Pantai Timur turun padang untuk menyampaikan ceramah dan disertai oleh Pengurus-pengurus Zon Pahang. Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Pusat Pengajian Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang; Dr Hasnizawati Hashim yang hadir dari Kampus Raub. Semoga program seumpama ini akan diteruskan untuk memberi pendedahan kepada generasi muda tentang kepentingan ilmu pengurusan kewangan dan pelaburan dalam persediaan menghadapi ketidaktentuan keadaan ekonomi global.