RUBRIX by REDEFINE 17: Pameran dan simposium pelajar tahun akhir Sarjana Muda Seni Reka Grafik, UiTM Cawangan Perak

SERI ISKANDAR, 1 Ogos 2023 – Seramai 26 orang pelajar tahun akhir Program Sarjana Muda Seni Reka Grafik (Kepujian), Kolej Pengajian Kreatif, UiTM Cawangan Perak dengan jayanya telah mengadakan pameran dan simposium pada 1 hingga 4 Ogos 2023. Pameran dan simposium ini melihatkan dua pengkhususan iaitu pengiklanan (15 pelajar) dan Illustrasi (11 pelajar).

Untuk rekod, pameran pelajar tahun akhir yang dijenamakan sebagai REDEFINE ini diadakan pada setiap semester pada setiap tahun dan sudah menjangkau siri ke 17. REDEFINE bermaksud pendefinisian semula karya pelajar dalam menterjemahkan pernyataan permasalahan ke dalam bentuk inovasi dan seni visual. REDEFINE juga adalah merujuk kepada pendefinisian semula karakter para pelajar itu sendiri yang sudah berkembang dari segi kemampuan untuk berfikir secara kritis dan kreatif bagi memenuhi konteks menjadi pelajar yang berkualiti. Oleh itu, REDEFINE merupakan simbolik bagi keupayaan serta kebolehan setiap pelajar yang mampu untuk mengubah sesuatu perkara yang biasa menjadi sesuatu perkara yang baru, lebih menarik dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Pada kali ini juga, RUBRIX telah dipilih sebagai tema yang mewakili hasrat dan inspirasi kumpulan pelajar ini. Perkataan RUBRIX adalah gabungan daripada Rubix dan Bricks yang melambangkan amalan rekaan grafik adalah seperti sifat permainan puzzle dimana beberapa unsur seperti teori,idea, visual dan teks digabungkan untuk menghasilkan sesuatu rekaan dengan kreativiti yang tinggi. Perlambangan ini secara tidak langsung menunjukkan pembentukan kematangan dan ketersediaan pelajar dalam merealisasikan rekaan grafik yang terbaik.

Pameran dan simposium ini dirasmikan oleh Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni UiTM Cawangan Perak, Prof. Madya Dr. Muhammad Abdul Aziz Ab. Ghani yang begitu teruja dengan pengetahuan, kemahiran dan kematangan pelajar dalam menghasilkan karya rekaan mereka. Malah beliau melihat sebahagian besar rekaan mempunyai nilai penyelidikan, inovasi dan berpotensi untuk dikomersialkan. Ini memberi makna positif kepada potensi pelajar dalam membentuk idea baru ke tahap yang seterusnya.

Pameran dan simposium RUBRIX by Redefine 17 ini telah menarik minat ramai pelajar universiti, kolej, dan sekolah yang memberi kesan positif kepada ketampakan para pelajar Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital, Kolej Pengajian Seni Kreatif khususnya dan UiTM Cawangan Perak amnya. Semoga pelajar tahun akhir Program Sarjana Muda Seni Reka Grafik Sesi II 2022/2023 beroleh kecemerlangan di masa akan datang. Segala aktiviti pameran dan simposium boleh dilayari di media sosial Instagram – #redefinebyuitm.