ROYAL BELUM, 12 Januari 2025 – Program Royal Belum Adventure: Connecting People and Nature yang berlangsung pada 10 hingga 12 Januari 2025 telah berjaya dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Sesi 2024/2025 dengan kerjasama Pulau Banding Foundation (PBF), UMK-TRaCe, dan Tropical Rainforest Research and Conservation Explorers (T-Rex). Bertempat di kawasan Royal Belum, Perak, program ini bertujuan menghubungkan peserta dengan alam semula jadi serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan biodiversiti melalui pendekatan holistik dan kolaboratif.
Melalui program ini, pelbagai aktiviti berimpak tinggi telah dijalankan dengan objektif untuk membangunkan mahasiswa yang holistik, meningkatkan pemberdayaan komuniti tempatan, serta memperkukuhkan usaha pemeliharaan ekosistem. Aktiviti ini dirancang bagi mendedahkan peserta kepada keindahan dan cabaran konservasi di Royal Belum, hutan hujan tropika yang kaya dengan biodiversiti.
Salah satu aktiviti utama melibatkan sesi interaksi bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Klewang. Peserta bergotong-royong membersihkan kawasan kampung dan rumah baca sebagai usaha mempereratkan hubungan sosial antara peserta dan komuniti setempat. Aktiviti ini turut diserikan dengan permainan sumpit tradisional, yang mana peserta berpeluang mempelajari seni menggunakan sumpit hasil tangan penduduk kampung. Anak-anak Orang Asli turut mempersembahkan nyanyian tradisional, mencipta suasana harmoni dan penuh makna.
Selain itu, peserta program meneroka keindahan alam semula jadi dengan melawat dua lokasi air terjun ikonik di Royal Belum, iaitu Sungai Kooi dan Sungai Ruok. Di Sungai Kooi, peserta diberi taklimat tentang spesies hidupan liar yang menghuni kawasan ini seperti burung enggang, harimau Malaya, dan gajah. Setibanya di lokasi, peserta kagum melihat keunikan air terjun “shower waterfall” yang menjulang megah di tengah hutan tropika. Di Sungai Ruok pula, mereka didedahkan kepada pelbagai spesies tumbuhan yang unik dan menikmati pengalaman berendam di air terjun sambil dikelilingi ikan kelah yang menjadi tarikan utama kawasan tersebut.
Program ini turut merangkumi aktiviti water confident di Tasik Temengor. Peserta diberikan peluang untuk membina keyakinan diri dengan memakai jaket keselamatan dan menggunakan rakit buluh, satu pengalaman unik yang menghubungkan mereka secara langsung dengan elemen semula jadi.
Selepas selesai program di Royal Belum, peserta melawat pusat penyelidikan UMK-TRaCe. Lawatan tersebut telah disambut baik oleh Dr. Muhammad Firdaus Bin Abdul Karim selaku Pengarah UMK-TRaCe. Lawatan tersebut lebih mendedahkan peserta kepada penyelidikan konservasi biodiversiti dan kepentingan penglibatan universiti dalam pemeliharaan alam sekitar.
Saudara Muhammad Haziq Bin Sabri, Yang Dipertua MPP UiTM Shah Alam, menyifatkan program ini sebagai pengalaman yang sangat berharga. Beliau berkata, “Program ini bukan sahaja membuka mata saya terhadap keindahan dan kepentingan hutan hujan tropika seperti Royal Belum, tetapi juga memberi saya peluang untuk memahami isu konservasi yang kritikal seperti ancaman kepada biodiversiti dan peranan penting komuniti dalam pemeliharaan alam sekitar.”
Kesimpulannya, Royal Belum Adventure: Connecting People and Nature telah berjaya mencapai objektif utamanya dalam menghubungkan peserta dengan alam semula jadi, meningkatkan kesedaran tentang pemeliharaan biodiversiti, dan menggalakkan kerjasama antara universiti, komuniti, serta pihak berkepentingan. Program ini bukan sahaja memberi impak positif kepada peserta tetapi juga kepada masyarakat setempat dan alam sekitar, selari dengan usaha ke arah pembangunan lestari yang lebih menyeluruh.