SHAH ALAM, 9 Oktober 2023 – YBhg Dato’ Haji Rizalman Bin Haji Ibrahim telah dilantik sebagai profesor adjung bagi Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang berkuat kuasa 13 Ogos 2023 sehingga 30 Julai 2025. Majlis serahan watikah pelantikan profesor adjung itu telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM bersempena dengan Malam Apresiasi Al-Quran yang berlangsung di Dewan Muktamar, Masjid al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin UiTM Shah Alam.
Pelantikan sebagai profesor adjung ini dibuat sejajar dengan pengalaman luas dan kepakaran YBhg Dato’ Haji Rizalman di dalam bidang fesyen dan gaya hidup yang merupakan salah satu daripada enam bidang tumpuan perkembangan industri halal. ACIS UiTM yang mempunyai program penawaran khusus ijazah pengurusan industri halal melihat YBhg Dato’ Haji Rizalman sebagai figura terbaik untuk mengembang luaskan lagi penyelidikan, kajian dan manfaat kepada pelajar industri halal dengan lantikan sebagai profesor adjung ini. Selain daripada itu, lantikan ini dibuat bagi saling bertukar pengalaman tadbir urus baik Pusat Pengajian Al-Quran Al-Qari (Dar al-Qari) cetusan YBhg Dato’ Haji Rizalman untuk kecemerlangan Pusat Kajian Al-Quran dan Hadis UiTM yang baru saja dilancarkan.
YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM di dalam ucapan aluan beliau bersempena Malam Apresiasi Al-Quran berharap penyerahan lantikan sebagai profesor adjung ini juga mampu memanfaatkan Program Plus Tahfiz UiTM yang dikelolakan oleh ACIS UiTM sebagai urusetia pusat. Program Plus Tahfiz UiTM sehingga kini telah melahirkan 473 orang graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian bersama dengan sijil tahfiz UiTM. Pelajar yang terlibat adalah daripada jurusan pengajian pelbagai bidang yang dalam masa yang sama ingin memperbaiki dan menambah baik mutu hafazan mereka sejajar dengan visi Plus Tahfiz UiTM untuk melahirkan huffaz profesional.
Hadir sama di dalam majlis ini adalah YBhg Profesor Dr Mohd Afandi Mat Rani, Dekan ACIS UiTM yang teruja dengan pelantikan profesor adjung ACIS dan berharap lebih banyak peluang penyelidikan dan projek kajian bersandarkan kepada mengangkat Quran dan Hadis akan dapat dijalankan bersama pihak YBhg Dato’ Haji Rizalman. Selain daripada serahan watikah pelantikan profesor adjung ACIS UiTM, Malam Apresiasi Al-Quran turut menyaksikan upacara menandatangani perjanjian persefahaman di antara UiTM dengan Dar Al-Qari Resources, Pelancaran Pusat Kajian Al-Quran dan Hadis UiTM dan penyerahan sijil Tahfiz UiTM kepada para huffaz yang menamatkan program Plus Tahfiz. Majlis turut menzahirkan apresiasi kepada para pentasmik yang dilantik dan penyerahan sijil kecemerlangan akademik serta sijil kecemerlangan hafazan kepada huffaz terbaik.