Revolusi Industri 4.0 Fokus Utama Karnival Kemahiran Sarawak 2019

Penganjurkan Karnival Kemahiran Sarawak: Mendepani Revolusi lndustri 4.0 melalui NOSS bertempat di UiTM Cawangan Sarawak

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Sarawak telah menganjurkan Karnival Kemahiran Sarawak: Mendepani Revolusi lndustri 4.0 melalui NOSS bertempat di UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan 2.

Antara fokus utama penganjuran karnival ini adalah untuk mempromosi standard dan kurikulum kemahiran yang terhasil melalui input daripada industri bagi mendepani cabaran Revolusi lndustri 4.0 (IR4.0). Revolusi Industri 4.0 yang rancak berlaku di seluruh dunia memerlukan semua pihak bertindak pantas seiring dengan pembangunan pesat dalam produk berteknologi dan sistem automasi lebih pintar. Satu teras utama dalam Revolusi Industri 4.0 adalah kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) atau AI.

Menerusi AI, sesuatu sistem dihasilkan untuk mempelajari persekitaran dan menjadi pemacu kepada hubungan di antara manusia, peralatan fizikal dan dunia digital. Selain daripada itu, teknologi Robotik Automasi pula berkeupayaan untuk beroperasi dalam persekitaran kerja yang sama seperti manusia.

Isu-isu IR4.0 seperti ini akan dikupas dalam forum yang bakal dibincangkan oleh ahli panel yang terdiri daripada pemain dan nama besar industri tekonologi di Malaysia. Antara tajuk forum yang bakal dibincangkan ialah Drone, Robotics & Internet of things (IoT), Could Computing, Building Information Modeling (BIM), Augmented & Virtual Reality dan Big Data, Cyber Security & Artificial Intelligence. 

Karnival ini dijangka melibatkan seramai 500 peserta dalam kalangan pemain industri, pusat bertauliah, ahli akademik dan penuntut universiti awam dan swasta serta pelajar sekolah menengah. Pelbagai aktiviti menarik dijalankan bertujuan untuk menarik minat pelajar sekolah untuk mendekatkan diri mereka dengan teknologi seperti pameran Technical and Vocational Education and Training (TVET), e-sports, dan jualan food truck.

Majlis perasmian dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Pembangunan Kemahiran, En Suimi bin Abdul Majid mewakili Dato’ Haji Mahfuz Omar, Timbalan Menteri Sumber Manusia dan Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Madya Dr Firdaus Abdullah. Turut hadir ketua-ketua jabatan dari Jabatan Pembangunan Kemahiran dan UiTM Cawangan Sarawak.

Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan RAMA Resources Corporation (M) Sdn. Bhd.

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Teknologi MARA dan RAMA Resources Corporation (M) Sdn. Bhd. telah berlangsung pada majlis penutupan yang telah diadakan pada hari yang sama.

RAMA Resources Corporation (M) Sdn. Bhd. merupakan merupakan syarikat swasta yang mempunyai kemahiran dalam bidang Technical and Vocational Education and Training (TVET) dan rundingan kerja. Syarikat ini berperanan sebagai peneraju utama untuk pelbagai modul latihan TVET di bawah National Occupational Skills Standard (NOSS) selain daripada menjadi fasilitator dan pengurus untuk kerja konsultasi yang melibatkan kontrak kajian dan pendidikan di Malaysia.

Objektif MoU di antara dua pihak ini adalah untuk menubuhkan satu rangka kerja kerjasama untuk pembangunan pusat latihan Technical and Vocational Education and Training (TVET) dijalankan di UiTM Cawangan Sarawak.

UiTM berperanan sebagai institusi pendidikan yang mempunyai rekod pendidikan dan penyelidikan yang baik dan juga mempunyai rangkaian kerjasama dengan pihak antarabangsa.

1
0