Rektor UiTM Sarawak ketuai senarai penerima anugerah Maal Hijrah negeri

Prof Dato Dr Jamil Hamali, Rektor UiTM Cawangan Sarawak

SRI AMAN: Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Prof Datuk Dr Jamil Hamali, mengetuai senarai penerima anugerah pada sambutan Maal Hijrah 1441H/2019M peringkat Sarawak, hari ini.

Beliau menerima Anugerah Kepimpinan Organisasi daripada Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, pada majlis berlangsung di Dewan Suarah, di sini, sekali gus memperoleh hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 berserta sijil.

Sementara itu, pensyarah UiTM Sarawak, Prof Madya Dr Hasmah Mohidin, pula menerima Anugerah Pencapaian Penyelidikan dan Pembangunan dengan hadiah wang tunai RM7,000 serta sijil.

Anugerah Pegawai Awam Islam Cemerlang disampaikan kepada Mahdzar Julaihi, manakala Philip Chayong menerima Anugerah Pegawai Bukan Islam Cemerlang, dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

Pasangan Kana Ragon dan Hamdiah Zaini pula menerima Anugerah Keluarga Cemerlang dengan hadiah wang tunai RM5,000.

Masjid Attaqwa, Bintulu, memperoleh Anugerah Pengurusan dan Pentabiran Masjid Cemerlang yang membolehkannya menerima projek bernilai RM30,000.

Surau Darul Ihsan, Kampung Badong, Daro, meraih Anugerah Pengurusan dan Pentadbiran Surau Cemerlang dengan menerima hadiah projek bernilai RM20,000.

Anugerah Sekolah Menengah Agama Cemerlang pula disampaikan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmad Zaidi, manakala Anugerah Sekolah Rendah Agama Cemerlang diraih Sekolah Kebangsaan Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, dengan masing-masing menerima hadiah RM3,000.

Anugerah Pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Cemerlang diperoleh Mohd Hafizan Julai yang menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan insentif melanjutkan pengajian berjumlah RM4,000.

Mohd Hazim Isa pula meraih Anugerah Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Cemerlang dan menerima hadiah wang tunai RM2,000 serta insentif melanjutkan pengajian bernilai RM4,000.

Yang turut hadir pada majlis itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.

Oleh: Mohd Roji Kawi
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/09/602649/rektor-uitm-sarawak-ketuai-senarai-penerima-anugerah-maal-hijrah

0
0