REMBAU: Sebuah program tayangan projek tahun akhir pelajar penyiaran dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau telah disiarkan secara langsung pada 18 Februari lalu.
Program yang diberi nama sebagai ‘ReCAVER Night 5.0’ itu merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh pelajar Semester 5 dari Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) UiTM Rembau. Para pelajar telah diberikan tugasan untuk menghasilkan video berkonsepkan majalah dengan tema “What’s Next in 2022”. Sebanyak 3 kelas telah membentangkan hasil produk mereka dengan pelbagai topik menarik seperti industri kopi, fesyen dan E-Sukan.
Ketua Program, Nurdini Ilyas, 22 tahun, yang turut berada di semester lima pengajiannya meluahkan rasa gembira melihat usaha mereka dalam menyiapkan tugasan tahun akhir setelah menjalani pembelajaran secara atas talian selama dua tahun ini menerima sambutan yang baik.
Malam tayangan tersebut turut dihadiri dua panel jemputan yang berpengalaman dalam industri penyiaran iaitu Sharruddin Zain, Pengarah Eksekutif Kunang Kunang Pictures, dan juga Zaki Haji Abdul Rahim yang berpengalaman menerbitkan program-program televisyen terkenal di Malaysia seperti Majalah 3 dan Jejak Rasul.
“Saya berasa sangat gembira kerana dapat melihat junior-junior saya. Kalau saya tengok video saya dulu, saya rasa hasil kerja kalian (pelajar) memang jauh lebih baik”. Kata Sharruddin yang juga merupakan alumni Komunikasi Massa UiTM.
Program yang berlangsung selama dua jam itu turut mendapat bimbingan daripada penasihat program yang juga merupakan pensyarah FKPM, Fakrulnizam Jafri. Ini juga merupakan kali yang kedua program ini dilaksanakan secara atas talian sejak penganjuran pertamanya pada tahun 2019.
Orang ramai boleh menonton hasil kerja para pelajar di saluran YouTube ReCAVER Rembau https://www.youtube.com/channel/UCHLNoLU2-vWNnwwJwxDU4lw.