Readers’ Theatre anjuran ETSA Fakulti Pendidikan di SK Seri Sekinchan Terima Sambutan Menggalakkan

Bengkel Readers’ Theatre anjuran ETSA Fakulti Pendidikan di SK Seri Sekinchan

Pada hujung September lalu, Ethos TESL Student Association (ETSA) Fakulti Pendidikan Kampus Puncak Alam dengan kerjasama English Language Society Sekolah Kebangsaan Seri Sekinchan, Selangor, telah menganjurkan Bengkel Readers’ Theatre untuk murid-murid tahun 4 sekolah tersebut. Lebih daripada 50 pelajar menyertai program ini dibantu oleh 12 fasilitator ETSA.

Bengkel Readers’ Theatre ini diserikan dengan kehadiran istimewa Encik Radhi Khalid, dramatis serta penggiat teater terkenal tanahair. Encik Radhi bersama-sama pelajar ETSA turut mempersembahkan readers’ theatre pendek sebagai demonstrasi kaedah pelaksanaan.

Program ini memberi pendedahan kepada pelajar tentang readers’ theatre sebagai satu alternatif dalam mempelajari Bahasa Inggeris dan memahami karya literatur. Pendekatan ini memerlukan pelajar melakukan interpretasi berdasarkan pengamatan terhadap pembacaan prosa atau gaya tubuh (gestures) dan dialog yang dramatik. Readers’ theatre turut meningkatkan penggunaan kosa kata pelajar dan keyakinan mereka untuk menggunakan Bahasa Inggeris di luar bilik darjah.

Program sehari ini menyediakan modul readers’ theatre yang komprehensif dengan pengisian yang interaktif dan menarik. Murid-murid diperkenalkan kepada konsep readers’ theater semasa sesi bengkel sebelum mereka menjalani latihan dan melakukan persembahan. Komen dan maklumbalas konstruktif yang diberikan oleh juri memfokuskan kepada pemahaman dan teknik murid-murid dalam melaksanakan pendekatan ini.

1
0