3 Mei 2024 – Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), UiTM berasa bangga dengan kejayaan mahasiswi program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Komputer (CDCS230) Puteri Munajjah Az-zahraa binti Azhar atas kemenangan beliau di dalam Champion Malaysian Chess Championship (Kategori Wanita). Pertandingan berprestij anjuran Malaysian Chess Federation pada 21 – 25 April 2024 di Dewan Jubli Intan Johor telah melayakkan Puteri Munajjah mara ke pertandingan peringkat dunia di Budapest, Hungary anjuran Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE), 45th Chess Olympiad 2024 yang akan berlangsung pada 10 sehingga 23 September 2024.
Menyorot kembali pembabitan Puteri Munajjah dalam arena catur ini, beliau menyatakan minat keluarga terhadap catur menjadi pemangkin utama penglibatan ke dalam sukan yang memerlukan daya strategi yang tinggi ini. Minatnya terbit seawal umur 4 tahun dengan memerhatikan abang dan kakaknya bermain catur, membuatkan bapanya sering membawa mereka adik-beradik ke pertandingan catur yang diadakan di dalam dan luar negara demi mengasah bakat terpendam mereka. Minat yang mendalam terhadap sukan catur ini telah membuahkan banyak kejayaan sekaligus mengharumkan nama negara antaranya SEA Games 2021, Women’s World Cup Sochi 2021, World Chess Olympiad 2018 dan 2022, Marienbad Open Chess 2022, Baku Open 2023, dan banyak lagi.
KPPIM mendoakan agar kejayaan demi kejayaan dapat ditempa dalam mengharumkan nama negara seterusnya memberikan motivasi kepada generasi muda untuk bergiat aktif dalam sukan catur ini.