Pusat Pengajian Perancangan Bandar dan Wilayah, Kolej Pengajian Alam Bina UiTM rangkul tiga anugerah di MIPPEA 2022

24 Februari 2023, Shah Alam, Selangor – Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) pada 16 Januari 2023, telah mengumumkan pemenang Malaysian Institute of Planners Planning Excellence Award 2022 (MIPPEA 2022). Pusat Pengajian Perancangan Bandar dan Wilayah, Kolej Alam Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah merangkul tiga anugerah di majlis berprestij tersebut.

Professor TPr Dr Jamalunlaili Abdullah telah memenangi Anugerah Emas (Gold Award) di bawah kategori Planning Scholar. Anugerah tersebut mengiktiraf usaha dan pencapaian individu di dalam dunia akademik ke arah mempromosikan, meningkatkan dan memajukan bidang perancangan bandar dan wilayah melalui penyelidikan, inovasi dan/atau penerbitan. Professor TPr Dr Jamalunlaili Abdullah merupakan Penolong Naib Canselor di Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM.

Bagi kategori pelajar, anugerah yang dipertandingkan adalah Outstanding Students Planning Project. Muhammad Afiff Hakimi bin Anuar dari UiTM Kampus Seri Iskandar telah memenangi Anugerah Emas (Gold Award) bagi kategori Masterplan dengan hasil kerja bertajuk Port of Tanjung Langsat Masterplan 2030. Manakala kumpulan pelajar Breakers Studio 5B dari UiTM Kampus Puncak Alam telah memenangi Anugerah Perak (Silver Award) bagi kategori Pelan Strategik dengan hasil kerja bertajuk Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (Kajian Semula).

Pertubuhan Perancang Malaysia merupakan sebuah pertubuhan professional yang berdaftar dan mempunyai ahli perancang bandar yang berkelayakan, bekerja sebagai pegawai perancang bandar di pelbagai peringkat persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan, perunding perancang bandar,pensyarah di universiti dan perancang bandar untuk pemaju perumahan dan pelbagai organisasi.

Pertubuhan Perancang Malaysia mengiktiraf usaha profesyen perancang bandar dengan penganugerahan di MIPPEA 2022. Pemilihan pemenang telah melalui proses penjurian yang teliti dari segi kejayaan, inovasi, impak kepada profesyen, potensi pelaksanaan dan pembentangan secara keseluruhan. Sebanyak 148 permohonan telah diterima bagi 14 kategori anugerah yang dipertandingkan.