Perth – Pusat Pengajian Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor, telah menganjurkan Program Lawatan Akademik Antarabangsa bersempena dengan dengan sambutan 17th IFEH World Congress on Environmental Health di Perth, Australia. Seramai 12 orang pelajar dari program Sarjana Muda Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran telah terpilih untuk menyertai program ini yang bertujuan untuk mendapatkan pendedahan tentang aktiviti kesihatan persekitaran di luar negara. Program ini turut disertai oleh tiga orang pensyarah kanan dari Pusat Pengajian serta lima orang ahli Malaysian Association of Environmental Health (MAEH).
Bagi memenuhi objektif lawatan sambil belajar ini, para peserta telah menghadiri Kongres Kesihatan Persekitaran di Pan Pacific, Perth. Menurut pencetus idea Program Lawatan Akademik Antarabangsa ini, yang juga merupakan Presiden MAEH, Megat Azman bin Megat Mokhtar, aktiviti seperti ini adalah bermanfaat kepada pelajar kursus Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran di UiTM kerana mereka berpeluang untuk menimba pengalaman serta didedahkan dengan aktiviti kesihatan persekitaran di luar negara. Jelas beliau lagi, melalui aktiviti seperti ini, pelajar dapat bertemu dan mendengar sendiri secara bersemuka dengan Presiden IFEH sekarang dan yang terdahulu, serta beberapa pemimpin persatuan kesihatan persekitaran dari negara lain seperti Amerika Syarikat, Australia, dan Afrika.
Aktiviti Program Lawatan Akademik Antarabangsa yang dilaksanakan ini tidak hanya tertakluk kepada menghadiri Kongres Kesihatan Persekitaran, malah peserta program turut berpeluang menghadiri lawatan akademik ke Public Health and Occupational Health and Safety Department, Edith Cowan University (ECU), Joondalup Campus. Di sana, para peserta berpeluang menghadiri bengkel Occupational Health and Safety yang berlangsung pada hari yang sama, selain melawat makmal Occupational and Environmental Health. Para peserta turut mengunjungi stesen pemantauan kualiti udara dan diberikan taklimat mengenai pemantauan bunyi oleh Department of Water and Environmental Regulation (DWER), Government of Western Australia.
Peserta Program Lawatan Akademik Antarabangsa ini juga berpeluang melawat pihak berkuasa tempatan seperti Town of Victoria Park dan City of Vincent. Di sana, mereka diberikan pendedahan mengenai pengurusan keselamatan makanan, vektor, dan sisa pepejal. Peserta program turut berpeluang melawat Optus Stadium dan diberikan pendedahan mengenai pengurusan keselamatan dan pelan tindak balas kecemasan di stadium berkenaan, serta pengurusan keselamatan makanan. Mereka juga dibawa ke tapak Smoke Free City untuk melihat pelaksanaan program perancangan kesihatan awam di sana.
Menurut pengarah program, Khaliesah Amani binti Norhizam yang ditemui berkata, lawatan akademik yang diadakan ini mencapai matlamat dan tujuan yang diinginkan. “Program ini tidak hanya menawarkan peluang untuk melawat negara lain, tetapi juga memberikan pendedahan secara tidak langsung kepada para pelajar tentang perspektif kesihatan dan persekitaran dari sudut yang berbeza. Melalui lawatan dan sesi interaktif bersama komuniti tempatan serta pakar-pakar dari pelbagai bidang, kami dapat memahami dengan lebih mendalam tentang bagaimana isu-isu kesihatan dan persekitaran ditangani di negara-negara tersebut. Pengalaman ini membuka minda kami tentang kepentingan penjagaan kesihatan dan kelestarian alam sekitar serta bagaimana pendekatan yang berbeza dapat diterapkan untuk mencapai kesejahteraan global”, ujarnya.
Pusat Pengajian mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Fakulti Sains Kesihatan atas sokongan dan peruntukan yang diberikan bagi menjayakan program #fskgoesglobal ini. Semoga lawatan akademik seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang dalam usaha membantu meningkatkan kefahaman serta keupayaan para pelajar untuk berinteraksi mengenai kesihatan persekitaran di peringkat global.