Seperti jatuh ditimpa tangga, selepas lapang sasar memanah ditenggelami banjir pada awal 2019, kemudian ditutup hampir 2 tahun rentetan penularan Covid-19, Alhamdulillah pada minggu ke 6, fasa 2 ini, Pusat Latihan Negeri (PLN) UiTM Cawangan Pahang kembali beroperasi.
Buat masa ini, pemanah elit yang sedia ada kebanyakannya telah tamat dan tidak meneruskan pengajian di UiTM Cawangan Pahang atas beberapa faktor seperti di tawarkan pengajian di kampus lain kerana kursus yang ditawarkan tiada di Kampus Jengka dan ada juga yang tidak meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana.
Berikutan dengan itu, PLN perlu proaktif dan menggerakkan pencarian dan mencungkil bakat baru dalam sukan memanah dengan kadar segera bagi memastikan kecemerlangan sukan memanah ini berterusan. Sehubungan dengan itu, PLN mengadakan Sesi latihan yang melibatkan anak-anak staf UiTM dan pelajar sekolah yang berhampiran. Dalam masa yang sama akan diadakan satu sesi pemilihan atlet memanah yang melibatkan pelajar UiTM.
Aktiviti latihan di PLN di kawal selia oleh 2 orang jurulatih iaitu Muhammad Aman Mohammad Zahir (Jurulatih Sambilan PLN, SLKK Tahap 1) dan Muhammad Amir Aiman Mohd Nazam (Jurulatih Program Pembangunan Sukan Memanah), manakala Dr Mohamad Azmi Nias Ahmad (Jurulatih Sambilan PLN, SLKK Tahap 2) dan Mukhriz Mohamed (Jurulatih/Pengurus UiTM & MASUM) bertindak sebagai pemantau dan penasihat.
Walaupun di dalam senarai terdapat kira-kira 40 pemanah berdaftar dari kalangan pelajar UiTM dan pelajar sekolah, namun setelah 2 tahun, rombakan perlu dibuat. Usaha-usaha seperti membuat Kejohanan virtual sedikit sebanyak dapat mengekalkan sedikit momentum namun satu lonjakkan besar perlu juga dibuat.
Hubungan baik pasukan memanah UiTM Cawangan Pahang dengan Majlis Sukan Pahang dan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia, telah membuka peluang kepada UiTM Cawangan Pahang bersama Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia, Persatuan Memanah Negeri Pahang dan Majlis Sukan Pahang, untuk menganjurkan Kejohanan Memanah Kebangsaan bawah 12 dan 15 tahun yang pertama bertempat di Mini Stadium UiTM Cawangan Pahang pada 3 hingga 5 Jun 2022.
Kejohanan ini sedikit sebanyak boleh menarik minat masyarakat setempat dan berkemungkinan akan menjadi batu loncatan kepada PLN untuk merekrut generasi pasca Covid-19 yang telah lama dahagakan penglibatan di dalam sukan yang bertaraf tinggi seumpama ini.
Untuk rekod, lapar sasar UiTM Cawangan Pahang ini telah melahirkan lebih 10 orang pemanah yang telah memenangi pingat emas World Cup 2015, Asia Grand Prix, Sukan SEA dan Asean University Games. Apa yang menariknya, sebahagian besar pemanah-pemanah bertaraf dunia ini memulakan penglibatan mereka di bumi Kampus Jengka ini.