Pusat Latihan dan Inkubator MASMED (PLIM) UiTM Cawangan Pahang: Pemangkin Ekosistem Keusahawanan yang Kondusif

MASMED UiTM Cawangan Pahang terus berperanan proaktif dalam mewujudkan ekosistem keusahawanan yang kondusif dikalangan warga kampus terutamanya dikalangan siswa dan siswi dengan terasminya Pusat Latihan Dan Inkubator MASMED (PLIM). Majlis pelancaran PLIM ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Shahaniza binti Shamsuddin, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul, pada tanggal 4 Januari 2022.

Turut mengiringi Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Shahaniza di majlis pelancaran ini adalah Profesor Ts. Dr. Mohd Ilham bin Adenan,Rektor UiTM Cawangan Pahang, Prof. Madya Dr Wan Mohd Nazri bin Wan Abdul Rahman, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Cawangan Pahang serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif Negeri UiTM Cawangan Pahang. Majlis pelancaran ini turut mendapat sokongan dan bantuan daripada Ketua Pusat Pengajian, Ketua Bahagian, Ketua Unit, Koordinator, staf akademik dan staf sokongan, ahli KOSISWA serta siswa dan siswi UiTM Cawangan Pahang. Majlis pelancaran ini telah dikelolakan oleh Dr. Nor Hidayatun Abdul Razak, Menjalankan Tugas Koordinator MASMED UiTM Cawangan Pahang dan Puan Suhanom Mohd Zaki,Penyelaras KOSISWA UiTM Cawangan Pahang.

Pusat Latihan dan Inkubator MASMED UiTM Cawangan Pahang atau nama singkatannya PLIM berfungsi sebagai pusat sehenti bagi siswa dan siswi UiTM Cawangan Pahang khususnya ahli KOSISWA dalam melakukan aktiviti keusahawanan secara sistematik dan berkala bagi menyiapkan diri sebagai graduan yang berkemahiran luas sekaligus mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi di masa hadapan. Dengan adanya PLIM, siswa dan siswi yang terlibat berpeluang untuk belajar ilmu keusahawanan secara praktikal dan mereka juga berpeluang untuk menjana pendapatan hasil dari aktiviti keusahawanan mereka. Antara aktiviti keusahawanan yang telah dirancang adalah jualan makanan, urutan fisioterapi (urutan sukan), dandanan wajah (mini spa) dan perkhidmatan menggunting rambut.

Semoga dengan usaha tidak kenal erti jemu oleh warga MASMED dan KOSISWA UiTM Cawangan Pahang dapat menyahut seruan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam memperkasakan agenda keusahawanan di IPT seiring dengan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025 dan Garis Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu sekaligus menyahut visi dan misi MASMED UiTM untuk menghasilkan graduan yang berjaya secara holistik dalam pelbagai bidang dan salah satunya adalah bidang keusahawanan.