PTAR UiTM Komited Tingkatkan Kecekapan Pengurusan Pusat Sumber Sekolah

2 Oktober 2024 – PTAR UiTM Cawangan Melaka telah menjalankan sesi Taklimat Sistem Pengurusan Pusat Sumber Sekolah secara dalam talian melalui platform Google Meet pada jam 2.30 petang. Program ini merupakan inisiatif Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang bertujuan untuk memperkukuh kefahaman dan kemahiran dalam pengurusan pusat sumber sekolah secara lebih sistematik dan berkesan.

Penceramah jemputan bagi program ini ialah Encik Mohd Izwan bin Salim, Pustakawan Kanan dari PTAR UiTM Shah Alam, yang telah berkongsi pengetahuan, pandangan dan pengalaman mengenai cara-cara efektif dalam menguruskan sistem pusat sumber di sekolah. Beliau telah membincangkan aspek-aspek penting berkaitan strategi pengurusan pusat sumber, peranan teknologi dalam memudahkan akses kepada maklumat, serta pendekatan terbaik untuk meningkatkan keberkesanan operasi pusat sumber di sekolah. Sebanyak tiga buah sekolah telah terlibat pada sesi kali ini iaitu Sekolah Menengah Tahfiz Al Quran (JAIM) Al Abqari, Sekolah Kebangsaan Lendu dan Sekolah Kebangsaan Dato’ Demang Hussin.

Taklimat ini adalah sebahagian daripada usaha PTAR UiTM dalam mempromosikan amalan terbaik dalam pengurusan maklumat di sekolah, sejajar dengan visi untuk memupuk budaya ilmu dan mewujudkan generasi yang cemerlang dari segi akademik dan nilai adiwangsa. Program ini juga bertujuan untuk memberikan panduan yang komprehensif kepada pihak pengurusan pusat sumber dalam menyokong agenda pendidikan kebangsaan serta memperkasakan ekosistem pendidikan di Malaysia. PTAR UiTM komited membantu sekolah-sekolah dengan menyediakan sokongan dan latihan yang diperlukan bagi memastikan pusat sumber sekolah berfungsi secara optimum sebagai pusat rujukan maklumat dan pembelajaran.

Penulis : Hazlin Ibrahim Khan, Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Melaka