PTAR Perkasa Kemahiran Literasi Maklumat Bakal Guru

12 Julai 2024, Jumaat – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Cawangan Melaka telah mengadakan Bengkel Literasi Maklumat yang telah dihadiri oleh 141 orang peserta dari Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Perempuan Melayu, bermula jam 8.30 pagi – 12.30 tengah hari. Bengkel ini dirangka khas untuk membantu bakal guru meningkatkan kemahiran mereka dalam mencari, menilai, dan menggunakan maklumat dengan lebih berkesan serta beretika.

Bengkel dimulakan dengan sesi pengenalan Keahlian Luar PTAR dan Perkhidmatan Perpustakaan oleh Puan Maznah Maarof, Pustakawan Kanan PTAR. Seterusnya sebanyak 6 topik utama bermula dari pengenalan keperluan maklumat, jenis sumber maklumat, kaedah pencarian, penilaian dan penyimpanan maklumat yang tepat dan berkesan serta etika penggunaan maklumat telah disampaikan oleh Cik Hazlin Ibrahim Khan, Pustakawan Kanan PTAR. Bagi topik akhir Simulasi, Pemerhatian dan Penilaian telah dikendalikan oleh Encik Abdul Azim Ab. Ghani, Pustakawan PTAR melalui kuiz interaktif yang telah disediakan merangkumi topik pembelajaran sepanjang Bengkel Literasi Maklumat dijalankan.

Inisiatif ini turut mendapat sokongan penuh daripada Profesor Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini, Rektor Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka. Kerjasama yang erat antara PTAR dan pelbagai pihak membuktikan bahawa usaha meningkatkan literasi maklumat memerlukan pendekatan bersepadu dan sokongan daripada semua pihak.

Bengkel turut diserikan dengan ucapan penghargaan dari Encik Ahmad Suhaizan Pandak, Pensyarah mewakili Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Perempuan Melayu selaku Rakan Pembelajaran Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna, seterusnya ucapan perasmian penutup oleh Encik Norhazlan Nordin, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan.

Dengan pelbagai usaha yang dilakukan, PTAR yakin dapat mencapai matlamatnya untuk menjadi pusat rujukan utama dalam bidang literasi maklumat, bukan sahaja untuk bakal guru, tetapi juga untuk seluruh komuniti.

Maklumat lanjut : https://www.facebook.com/photo/?fbid=3798554370429931&set=pcb.3798565750428793

Maklumat Penulis : Hazlin Ibrahim Khan, Pustakawan Kanan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka.