Tapah, 9 Ogos 2024 – Satu projek menghasilkan lukisan mural telah dilaksanakan di bawah Geran Penyelidikan Nasional dan ‘University Service Response’ (USR) hasil usahasama antara Jabatan Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Perak dan Jabatan Penjara Tapah. Projek penyelidikan dan mural ini bertemakan “Bangunan Bersejarah di Negeri Perak” dan “Bangunan Penjara se-Malaysia”. Projek dengan geran bernilai RM9,00.00 ini telah dilaksanakan selama seminggu bermula dari 9 Ogos 2024 sehingga 15 Ogos 2024 dengan jayanya.
Projek ini dipengerusi oleh Pn. Hairulnisak Binti Merman, bersama 4 orang pensyarah daripada Jabatan Seni Halus, 8 orang pelajar Diploma Seni Halus, 8 orang pelajar praktikal Galeri Al-Biruni dan juga 5 orang alumni UiTM yang dilantik sebagai pakar bagi membantu menjayakan projek mural ini.
Secara keseluruhannya, terdapat 4 buah mural yang berjaya dilaksanakan dengan tema yang telah ditetapkan oleh pihak penjara. Tema bagi mural pada Pintu Utama (luar) Penjara Tapah adalah “Bangunan Bersejarah di Negeri Perak”. Lukisan mural berukuran 19 kaki (lebar), 24 kaki (tinggi) ini dibimbing oleh Pn. Hairulnisak Binti Merman dan En. Sallehuddin Bin Zakaria, bersama 1 orang pakar dan 6 orang pelajar.
Tema bagi mural pada Pintu Utama (dalam) Penjara Tapah adalah sebuah kata-kata hikmah yang amat bermakna bagi penghuni di sana iaitu “Berubah bukan mudah, hanya dengan kesungguhan, mampu mengubah hidupmu”. Lukisan mural ini merupakan salah satu permintaan pihak penjara bagi tujuan memberikan nasihat dan pesanan kepada semua penghuni di sana agar mereka dapat mengubah diri mereka kepada kehidupan yang lebih baik setelah keluar dari tempat ini.
Seterusnya, tema bagi Dinding 1 adalah “Bangunan Penjara se-Malaysia”, diketuai oleh En. Hilal Bin Mazlan bersama 1 orang pakar dan juga 7 orang pelajar. Manakala tema bagi Dinding 2 adalah “Bangunan Penjara di Negeri Perak”, diketuai oleh Prof. Madya Dr. Azian Bin Tahir dan Pn. Siti Humaini Syed Ahmad @ Said Ahmad bersama 1 orang pakar dan 6 orang pelajar. Kedua-dua dinding ini adalah berukuran 69 kaki (lebar) dan 23 kaki (tinggi).
Projek ini adalah bertujuan untuk menyampaikan maklumat sejarah penubuhan Penjara Tapah dan penjara-penjara yang terdapat di Malaysia. Penyebaran maklumat ini diharapkan dapat memberikan inspirasi kepada penghuni dan masyarakat sekitar Penjara Tapah. Justeru, tidak dinafikan bahawa penggunaan mural berdasarkan penyelidikan sejarah tempatan mampu menjadi medium berkesan dalam menonjolkan semangat kekitaan bagi sesebuah tempat.